KUALA LUMPUR – Pasukan peguam yang mewakili Datuk Seri Najib Razak dalam perbicaraan kes saman 1Malaysia Development Berhad (1MDB), mencabar kredibiliti seorang penyiasat kewangan antarabangsa dengan mendakwa beliau bukan saksi pakar dalam prosiding itu.
Peguam Tan Sri Dr. Muhammad Shafee Abdullah mendakwa, Pengarah Siasatan di Kroll Advisory Ltd., Richard Templeman, 47, bukan saksi pakar atau saksi fakta, sebaliknya hanya mengutarakan pandangan berdasarkan dokumen siasatan.
Bagaimanapun, Richard yang mempunyai pengalaman siasatan selama 26 tahun dalam penipuan kewangan, menafikan dakwaan itu dengan menyatakan, beliau mengemukakan fakta berdasarkan dokumen yang diserahkan kepadanya oleh pasukan siasatan.
Menurut saksi pertama 1MDB (plaintif), antara sumber yang diperoleh itu termasuk dokumen dan pernyataan bank, namun ia bukan yang asli kerana ia dikeluarkan secara elektronik.

Menjawab soalan Muhammad Shafee, Richard berkata, beliau mentafsir dokumen tersebut namun tidak semestinya ia merupakan tafsiran semata-mata.
Peguam: Anda bukanlah saksi pakar mahupun saksi fakta kerana anda hanya menyusun dokumen-dokumen tersebut serta mentafsirnya. Betul?
Saksi: Saya menyifatkan diri saya sebagai saksi fakta.
Peguam: Anda mentafsir dokumen dan mengemukakanya?
Saksi: Ya, tetapi ia tidak semestinya tafsiran semata-mata.
Peguam: Jadi anda tidak boleh mengesahkan sama ada dokumen itu benar atau sebaliknya?
Saksi: Ya.
Richard yang juga saksi pertama plaintif selanjutnya menyatakan, beliau tidak menyiasat arah aliran wang dari akaun Tanore Finance Corporation ke dalam akaun peribadi Najib.
Sebelum itu, Muhammad Shafee menyatakan, Najib yang ketika itu perdana menteri menerima AS$681 juta dari Tanore, namun beberapa bulan selepas itu, beliau mengembalikan AS$620 juta kepada syarikat tersebut.
Menurut Richard, beliau mengesan pemindahan AS$681 juta dari akaun Tanore ke dalam akaun peribadi Najib dan sejumlah AS$620 juta kemudian dipulangkan semula kepada syarikat itu.
Peguam: Tetapi anda tidak menyiasat ke mana wang itu dipindahkan selepas Datuk Seri Najib mengembalikannya?
Saksi: Tidak. Saya tidak fikir saya pernah mendakwa sedemikian.
Peguam: Sebagai seorang penyiasat kes penipuan, tidakkah kamu fikir, ia merupakan isu yang kritikal?
Saksi: Saya percaya saya telah menyiasatnya.
Ketika ditanya sama ada beliau mempunyai bukti sama ada wang AS$620 juta itu kemudian disalurkan semula ke dalam akaun Najib, saksi berkata, beliau tidak mempunyainya (bukti).
Richard memberi keterangan pada hari kedua perbicaraan kes saman 1MDB dan empat anak syarikatnya terhadap Najib dan enam yang lain. Prosiding hari kedua didengar di hadapan Pesuruhjaya Kehakiman Mohamad Redzuan Idrus.
Syarikat pelaburan strategik negara itu menyaman ketujuh-tujuh mereka bagi menuntut ganti rugi terhadap penyelewengan yang dilakukan mereka sehingga menyebabkan 1MDB mengalami kerugian berbilion ringgit.
Plaintif mengemukakan lapan kausa tindakan terhadap Najib iaitu penipuan, kecuaian, pelanggaran kewajipan fidusiari, pecah amanah, konspirasi, tort salah laku dalam jawatan awam, pengayaan tidak adil, dan penerimaan amanah konstruktif.
Pada 26 Disember 2025, Mahkamah Tinggi mendapati Najib bersalah atas empat pertuduhan salah guna kuasa dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram dan dijatuhi hukuman penjara 15 tahun dan denda RM13.5 juta.
Pada 7 Mei 2021, writ saman terbabit pada asalnya difailkan oleh 1MDB dan empat anak syarikat kepada 15 defendan termasuk Najib.
Empat anak syarikat itu ialah 1MDB Energy Holdings Limited, 1MDB Energy Limited, 1MDB Energy (Langat) Limited dan Global Diversified Investment Company Limited, atau lebih dikenali sebagai 1MDB Global Investments Limited.
Turut dinamakan sebagai defendan ialah bekas Pengarah 1MDB, Tan Sri Che Lodin Wok Kamaruddin, Tan Sri Ismee Ismail, Tan Sri Ong Gim Huat dan Ashvin Jethanand Valiram.
Defendan lain, bekas Ketua Pegawai Eksekutif 1MDB, Datuk Shahrol Azral Ibrahim Halmi dan Mohd Hazem Abdul Rahman, bekas Ketua Pegawai Kewangan (CFO) Azmi Tahir dan Radhi Mohamad serta bekas pegawai 1MDB, Terence Geh Choh Heng, Casey Tang Keng Chee, Vincent Beng Huat Koh, Kelvin Tan Kay Jin dan Nik Faisal Ariff Kamil.
Bagaimanapun pada 16 Ogos 2021, 1MDB dan empat anak syarikatnya menggugurkan tujuh daripada 15 defendan. Mereka ialah Che Lodin, Ismee, Gim Huat, Ashvin Jethanand, Shahrol Azral, Mohd Hazem dan Azmi. – MalaysiaGazette

















Semua defendan akan digugurkan kecuali DS Najib..rakyat dah bosan..