LONDON – Bekas penyerang sensasi Liverpool, Mohamed Salah semakin hampir memuktamadkan perpindahan ke kelab Turkiye, Trabzonspor dan dia dijangka tiba di kelab hari ini bagi mengadakan perbincangan rasmi bersama.
“Mohamed Salah yang kini sedang menjalani rundingan perpindahan bersama kami, akan tiba di Lapangan Terbang Ataturk, Istanbul pada jam 12 tengah hari, Rabu, 5 Ogos.
“Pemain itu kemudian dijadual tiba di Trabzon pada sebelah malam hari yang sama,” menurut kenyataan Trabzonspor di media sosial hari ini.
Pemain sayap berusia 34 tahun itu dilaporkan akan menyertai Trabzonspor dengan kontrak selama dua tahun sekaligus menamatkan teka-teki tentang destinasi legenda Mesir itu selepas meninggalkan Anfield pada akhir musim lalu.
Sebelum memilih membawa haluan ke Turkiye, Salah yang popular dengan panggilan Mo Salah dikaitkan dengan perpindahan ke Arab Saudi atau Major League Soccer (MLS).
Sekiranya perpindahan ke Turkiye direalisasi, Salah bakal bekerjasama dengan beberapa bekas bintang Liga Perdana Inggeris (EPL).
Antaranya Andre Onana, John Lundstram, Paul Onuachu dan kapten, Stefan Savic.
Onana kembali menyertai Trabzonspor buat kali kedua secara pinjaman dari Manchester United manakala Lundstram pula kembali bersama kelab itu selepas menghabiskan tempoh semusim secara pinjaman bersama pendatang baru EPL, Hull City.
Onuachu dan Savic pula pernah bersama Southampton dan Manchester City. – Agensi
















