Ketua Penerangan PKR, Fahmi Fadzil

PUTRAJAYA – Kongres Nasional Parti Keadilan Rakyat (PKR) pada 16 Ogos ini dijangka memberi tumpuan kepada bedah siasat prestasi parti dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor dan Negeri Sembilan bagi memperkukuh persiapan menghadapi pilihan raya akan datang.

Ketua Penerangan PKR, Datuk Seri Fahmi Fadzil berkata, selain memenuhi keperluan perlembagaan parti dan syarat ditetapkan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (RoS), kongres itu bakal menjadi medan muhasabah terhadap keputusan pilihan raya dua negeri berkenaan.

Menurut beliau, perwakilan khususnya dari Johor dan Negeri Sembilan dijangka berkongsi pandangan serta pengalaman bagi mengenal pasti kelemahan dan penambahbaikan yang perlu dilakukan parti.

“Sudah pasti isu-isu yang akan dibangkitkan oleh perwakilan dari Johor dan juga Negeri Sembilan ialah apa yang telah disaksikan untuk kita bermuhasabah, mengambil ibrah dan pengajaran daripada apa yang berlaku dalam PRN Johor dan Negeri Sembilan,” katanya pada sidang media selepas Mesyuarat Kabinet hari ini.

Fahmi berkata, antara perkara yang dijangka dibincangkan ialah aspek pengukuhan jentera parti, pembahagian tugasan, persediaan calon serta strategi bagi menghadapi pilihan raya akan datang.

Katanya, kongres itu juga berkemungkinan menyaksikan cadangan daripada perwakilan berhubung penambahbaikan dasar kerajaan sekiranya terdapat dapatan yang wajar diketengahkan.

“Apakah tindakan yang perlu diambil dalam parti, sama ada dari segi jentera, tugasan, persiapan calon dan sebagainya selain mungkin apakah perlu diambil apa-apa tindakan mengenai dasar kerajaan.

“Mungkin ada dapatan yang akan dilontarkan oleh perwakilan dalam kongres itu nanti,” katanya.

Kongres Nasional PKR dijadual berlangsung pada 16 Ogos ini dan dijangka menjadi platform penting parti itu menilai semula strategi susulan keputusan PRN Johor dan Negeri Sembilan. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast