Datuk N Sivakumar

KUALA LUMPUR – Kerajaan akan mendapat sokongan yang lebih meluas daripada rakyat sekiranya kerajaan mengambil langkah menghentikan penggunaan istilah ‘kuil haram’ dalam semua urusan rasmi susulan permohonan maaf Perdana Menteri berhubung penggunaan istilah itu sebelum ini.

Presiden Majlis Kuil-Kuil Hindu dan Persatuan-Persatuan Agama Hindu Malaysia (Mahima), Datuk N. Sivakumar berkata, langkah itu akan membuktikan komitmen kerajaan dalam menjaga sensitiviti agama selain memperkukuhkan keharmonian masyarakat berbilang kaum dan agama.

“Perdana Menteri (Datuk Seri Anwar Ibrahim) akan mendapat sokongan orang ramai jika kerajaan turut mengambil langkah menghentikan penggunaan istilah ‘kuil haram’.

“Tindakan itu akan menunjukkan kepimpinan beliau dalam menjaga sensitiviti agama dan keharmonian rakyat. Mahima menghargai sikap Perdana Menteri yang berjiwa besar dan rendah diri apabila mengakui kesilapan serta memohon maaf secara terbuka.

“Permohonan maaf itu sememangnya menyentuh hati masyarakat India, khususnya penganut agama Hindu,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurut Sivakumar, masyarakat India menerima permohonan maaf tersebut dengan hati yang terbuka namun beliau berpandangan langkah susulan yang lebih konkrit perlu diambil bagi memastikan isu sama tidak lagi berulang pada masa depan.

Katanya, penggunaan istilah menyentuh sensitiviti agama perlu dielak, lebih-lebih lagi apabila melibatkan rumah ibadat yang dianggap suci oleh penganut sesuatu agama.

“Atas sebab itu, kerajaan disaran mengeluarkan arahan yang jelas supaya istilah ‘kuil haram’ tidak lagi digunakan dalam ucapan, kenyataan atau dokumen rasmi oleh mana-mana pemimpin, kementerian, agensi kerajaan mahupun pihak berkuasa tempatan,” ujarnya.

Beliau berkata, tindakan sedemikian bukan bertujuan mengetepikan aspek perundangan atau isu status tanah sesebuah rumah ibadat, sebaliknya memastikan bahasa yang digunakan dalam urusan rasmi lebih berhemah dan menghormati sensitiviti semua agama.

Menurutnya, sebarang isu berkaitan status rumah ibadat boleh ditangani mengikut lunas undang-undang tanpa menggunakan istilah yang boleh mengguris perasaan penganut.

Pada masa sama, beliau mencadangkan agar kerajaan memperkukuhkan libat urus bersama pertubuhan agama serta wakil pelbagai kepercayaan dalam menangani isu-isu sensitif berkaitan rumah ibadat supaya setiap keputusan dibuat secara lebih inklusif dan saling menghormati.

“Kami percaya permohonan maaf Perdana Menteri merupakan satu langkah yang baik. Kini, langkah itu akan menjadi lebih bermakna sekiranya disusuli tindakan kerajaan menghentikan penggunaan istilah ‘kuil haram’ demi memelihara keharmonian negara,” katanya lagi. -MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

1 Komen

Comments are closed.