Wong Joon Hong (atas, kanan) Goh Chee Wai (bawah, kiri) Neoh Wooi Lee dan seorang lagi wanita Phua Ai Ling didakwa atas pertuduhan mengemukakan dokumen tuntutan palsu Dana Kerjaya 2.0 Perkeso di Mahkamah Pulau Pinang hari ini.

GEORGE TOWN – Empat pemilik syarikat termasuk seorang wanita didakwa di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas 30 pertuduhan mengemukakan dokumen mengandungi butiran palsu bagi tuntutan insentif di bawah Program Daya Kerjaya 2.0 kepada Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) pada 2024.

Tertuduh, Wong Joon Hong, 40, Goh Chee Wai, 43, Neoh Wooi Lee, 50, dan seorang lagi wanita Phua Ai Ling, 45, mengaku tidak bersalah dan mohon dibicarakan selepas pertuduhan terhadap mereka dibacakan secara berasingan dihadapan Hakim Irwan Suainbon.

Mengikut pertuduhan, kesemua tertuduh sebagai pemilik syarikat masing-masing didakwa mengemukakan Borang Pengesahan Pekerja Daya Kerjaya 2.0 yang mengandungi butiran palsu kepada ejen PERKESO dengan niat memperdayakan prinsipalnya.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di beberapa premis perniagaan masing-masing dalam daerah Timur Laut antara 1 Mac hingga 26 Ogos 2024.

Wooi Lee yang dikaitkan dengan Golden One Stop Services, D One Solution, As You Wish Enterprise dan Century SS Solution berdepan 21 pertuduhan manakala Chee Wai selaku pemilik Tojeda Enterprise Sdn Bhd didakwa atas enam pertuduhan.

Joon Hong yang merupakan pemilik J.H Food Court pula, menghadapi dua pertuduhanmmanakala Ai Ling selaku pemilik Great Solutions Management didakwa atas satu pertuduhan.

Kesemua mereka didakwa mengikut Seksyen 18 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 24(2) akta sama, yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda nilai butiran palsu atau RM10,000 mengikut mana-mana yang lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya SPRM, Nurnajihatul Idayu Mohd Azuyar dan Lim Jin Hong.

Manakala peguam, K. Mahendran mewakili Wooi Lee dan Joon Hong manakala Chee Wai diwakili peguam, Teh See Khoon dan Ai Ling tidak diwakili peguam.

Mahkamah kemudian membenarkan Wooi Lee diikat jamin RM28,000 bagi semua pertuduhan, manakala Ai Ling, Joon Hong dan Chee Wai masing-masing dibenarkan diikat jamin RM7,000 dengan seorang penjamin.

Mahkamah turut menetapkan syarat tambahan supaya kesemua tertuduh melapor diri di pejabat SPRM pada setiap 1 hari bulan, tidak mengganggu saksi pendakwaan serta menyerahkan pasport kepada mahkamah sehingga kes selesai.

Selain itu, sebarang permohonan menggunakan pasport perlu mendapat kebenaran mahkamah.

Mahkamah kemudian menetapkan 17 September depan untuk serahan dokumen kes. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast