KUALA LUMPUR – Mana-mana parti politik termasuk UMNO dan DAP boleh dikenakan tindakan undang-undang sekiranya melanggar peraturan serta undang-undang yang mengawal pertubuhan politik di negara ini.
Pakar Perundangan Perlembagaan dan Undang-Undang Awam, Datuk Prof Madya Shamrahayu Ab Aziz berkata, sejarah politik Malaysia sendiri menunjukkan sesebuah parti politik tidak kebal daripada tindakan undang-undang apabila terdapat isu berkaitan pematuhan terhadap peraturan.
Beliau memberi contoh UMNO yang pernah diharamkan pada 1988 susulan keputusan Mahkamah Tinggi berhubung isu kesahihan pertubuhan tersebut.
“UMNO pernah diharamkan. Jadi DAP pun boleh diharamkan, tetapi mestilah ada asas dan proses undang-undang.
“Tidak boleh kita kata kerana ia parti tertentu, maka ia tidak boleh dikenakan tindakan.
“Semua kena ikut peraturan,” katanya berucap pada Forum ‘Kontroversi Tanah Melayu: Menyelesaikan Polemik dan Membina Kesepakatan’ di Menara Hidayah, Wangsa Maju, di sini, hari ini.
Shamrahayu berkata, perkara paling penting ialah semua pertubuhan dan parti politik perlu mematuhi kerangka undang-undang yang ditetapkan, termasuk peraturan berkaitan pendaftaran pertubuhan.
Menurut beliau, pematuhan kepada peraturan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (ROS) merupakan antara asas penting bagi memastikan sesebuah pertubuhan terus beroperasi dalam lingkungan undang-undang.
“Tindakan terhadap mana-mana pertubuhan tidak seharusnya dibuat berdasarkan sentimen atau tekanan politik, sebaliknya perlu berasaskan peruntukan undang-undang dan proses yang sah,” jelas beliau.
Menurut Shamrahayu, prinsip undang-undang perlu dilaksanakan secara konsisten tanpa mengambil kira nama, ideologi atau kekuatan politik sesebuah parti.
“Kalau kita mahu sebuah negara yang berasaskan undang-undang, kita mesti terima bahawa peraturan itu terpakai kepada semua.
“Tidak boleh kerana kita suka parti itu, kita kata dia boleh buat apa sahaja. Kalau kita tidak suka parti lain, kita mahu tindakan dikenakan,” katanya.
Beliau berkata, pendekatan tersebut penting bagi memastikan institusi undang-undang dan pentadbiran negara tidak dipengaruhi sentimen politik semata-mata.
“Tindakan mengharam atau membatalkan pendaftaran sesebuah pertubuhan bukan perkara yang boleh dilakukan sewenang-wenangnya.
“Ia tertakluk kepada peruntukan undang-undang serta proses yang ditetapkan,” katanya lagi. – MalaysiaGazette
















