GEORGE TOWN – Penerimaan sumbangan atau wakaf daripada bukan Islam tidak bermaksud memberikan hak kesamarataan dalam perkara akidah, ibadah, kepimpinan agama atau pengurusan institusi Islam.

Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Pulau Pinang (JHEAIPP) berkata, perkara itu dijelaskan susulan pandangan dan bantahan yang dikemukakan berhubung kandungan khutbah Jumaat di negeri ini pada 7 Ogos lalu.

“Islam mempunyai garis hukum yang jelas antara urusan muamalat dan kebajikan kemasyarakatan dengan urusan akidah, ibadah dan kepimpinan agama.

“Penerimaan sesuatu sumbangan tidak menjadikan seseorang itu secara automatik mempunyai hak terhadap institusi, tanah, pentadbiran atau keputusan agama yang berkaitan dengannya,” katanya dalam kenyataan di Facebook hari ini.

Menurut JHEAIPP, penerimaan sumbangan daripada bukan Islam juga perlu dibezakan dengan persoalan mendapat pahala seperti orang Islam kerana pahala dan ganjaran akhirat merupakan hak mutlak Allah SWT.

“Pada masa yang sama, Islam mengiktiraf bahawa orang bukan Islam juga boleh melakukan kebaikan, membantu manusia, menyumbang kepada kebajikan dan melakukan perkara yang memberi manfaat kepada masyarakat.

“Perbuatan tersebut tidak boleh dinafikan hanya kerana mereka bukan Islam,” katanya.

Dalam pada itu, JHEAIPP berkata, kebimbangan terhadap masa depan umat Islam adalah sesuatu yang boleh difahami, namun ia hendaklah dibina atas ilmu dan fakta, bukan atas rangkaian andaian bahawa satu bentuk sumbangan akan membawa kepada tuntutan hak yang semakin besar sehingga akhirnya orang bukan Islam boleh menguasai masjid atau tanah perkuburan Islam.

“Wakaf ialah institusi syariah yang mempunyai hukum, tujuan, syarat, tatacara pengurusan dan pihak berkuasa yang ditentukan berdasarkan syarak serta undang-undang negeri.

“Penerimaan sesuatu sumbangan tidak menggugurkan semua peraturan tersebut,” katanya.

JHEAIPP berkata, dalam konteks Pulau Pinang, sebarang urusan wakaf, masjid, tanah perkuburan Islam dan pengurusan institusi agama tetap tertakluk kepada hukum syarak serta peruntukan undang-undang dan bidang kuasa pihak berkuasa agama negeri.

Katanya, tidak tepat untuk menggambarkan penerimaan sumbangan daripada bukan Islam secara automatik memberikan mereka hak sama rata terhadap institusi Islam.

Justeru JHEAIPP menyeru semua pihak supaya tidak menjadikan perbezaan pandangan sebagai ruang untuk menimbulkan keresahan atau prasangka dalam kalangan umat Islam.

“Pertahankan Islam dengan ilmu, bukan dengan sangkaan.

“Pertahankan akidah dengan kefahaman, bukan dengan ketakutan dan sampaikan dakwah dengan hikmah, bukan dengan prasangka terhadap sesama manusia,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast