MUMBAI – Juruterbang Air India yang mengendalikan penerbangan ketika mengalami penurunan mendadak akibat ribut udara sehingga menyebabkan 17 penumpang dan kru cedera sedang menjalani ujian ‘pengesahan’ dadah psikoaktif.
Pesawat Airbus A320 yang membawa 137 penumpang dan lapan kru itu kehilangan ketinggian kira-kira 300 kaki (91 meter) pada 4 Ogos lalu ketika dalam penerbangan dari Phuket, Thailand ke New Delhi, sebelum kembali stabil dan mendarat dengan selamat, menurut Kementerian Penerbangan Awam India.
Lapan penumpang dan empat anggota kru kabin dimasukkan ke hospital selepas mendarat di ibu negara India itu.
Keadaan mereka dilaporkan ‘stabil’.
“Ujian saringan terhadap juruterbang utama (PIC) menunjukkan keputusan yang memerlukan ujian pengesahan.
Sampel telah dihantar ke makmal yang ditetapkan untuk analisis pengesahan dan laporan akhir masih ditunggu,” katanya.
Kementerian itu menambah, penerbangan berkenaan telah diklasifikasikan sebagai “insiden serius”, manakala Biro Penyiasatan Kemalangan Pesawat India (AAIB) telah melancarkan siasatan.
Kedua-dua juruterbang telah dikeluarkan daripada jadual penerbangan sementara menunggu hasil siasatan.
“Tindakan selanjutnya, jika wajar, akan diambil berdasarkan hasil siasatan dan keputusan ujian pengesahan,” tambah kementerian itu.
Video selepas kejadian itu menunjukkan bagasi kabin bertaburan di sepanjang lorong pesawat dan sebahagian daripada mereka yang cedera dibawa ke hospital menggunakan pengusung.
Air India dalam kenyataan lebih awal pada hari Ahad mengesahkan, “ujian saringan selepas penerbangan” telah dijalankan terhadap juruterbang penerbangan tersebut, namun syarikat itu berkata keputusan ujian berkenaan belum diserahkan kepada pihaknya.
Insiden itu merupakan kejadian terbaharu dalam siri cabaran yang dihadapi syarikat penerbangan India.
Sejak mengambil alih Air India pada 2022, Tata Group dari India melaksanakan usaha pembaharuan besar-besaran dengan menempah ratusan pesawat baharu serta menaik taraf armada yang semakin berusia. – Agensi
















