Tangkap layar beberapa kumpulan tempatan bergaduh di luar Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur, Cheras.

KUALA LUMPUR – Polis sedang menjalankan siasatan bagi mengenal pasti punca insiden kekecohan di luar Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur, semalam hingga tular di media sosial.

Ketua Polis Daerah Cheras, Asisten Komisioner Mohd Rosdi Daud berkata, dalam kejadian sekitar jam 11.30 malam itu telah  menyebabkan seorang lelaki tempatan mengalami kecederaan.

“Akibat insiden itu, seorang lelaki tempatan berusia pertengahan 20an telah mengalami kecederaan dan setakat ini, tiada sebarang laporan polis dibuat dari mana-mana pihak.

“Namun siasatan lanjut sedang dijalankan bagi mengenalpasti punca kejadian yang berlaku,” katanya dalam kenyataan malam ini.

Tambah beliau, orang ramai diminta supaya tidak membuat sebarang spekulasi atau menyebarkan maklumat yang tidak disahkan berkaitan kejadian tersebut sehingga siasatan selesai.

“Mana-mana individu yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian ini boleh hadir di balai polis cheras atau mana-mana balai berhampiran bagi membantu siasatan polis,” ujarnya.

Terdahulu tular rakaman kekecohan di luar Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur selepas aksi Piala ASEAN 2026 antara Malaysia dan Filipina malam tadi, apabila berakhir dengan pergaduhan melibatkan dua kumpulan penyokong tempatan.

Video berkenaan menyaksikan keadaan tidak terkawal sehingga menyebabkan kesesakan lalu lintas sebelum semuanya berundur dan suasana kembali tenang untuk pulang. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast