JDT beraksi cemerlang berjaya mengekang Chelsea 3-3 pada aksi persahabatan di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri malam tadi.- Foto ihsan Johor Southern Tigers.

ISKANDAR PUTERI – Penyerang utama Johor Darul Ta’zim (JDT), Bergson da Silva mendedahkan fokus utama pasukannya bukan sekadar mengejar keputusan dalam aksi persahabatan menentang Chelsea malam tadi.

Sebaliknya, beliau berkata, identiti serta semangat pantang menyerah yang ditunjukkan JDT di atas padang ketika berdepan mana-mana lawan menjadi antara faktor kejayaan mereka, sehingga berjaya mencatat keputusan seri 3-3 menentang gergasi Liga Perdana Inggeris (EPL) itu.

Bergson, 35, bangga terhadap karakter dan semangat juang tinggi yang dipamerkan skuad Harimau Selatan itu menjelang saingan musim baharu 2026/2027.

“Perkara paling penting pada akhirnya ialah karakter yang kami pamerkan di atas padang, tidak kira sama ada seseorang itu beraksi 90 minit atau 10 minit.

“Kami tidak pernah letih untuk mengejutkan orang ramai dengan apa yang mampu kami lakukan menentang pasukan gergasi, sama ada di laman sendiri mahupun di tempat lawan,” katanya dalam sidang akhbar selepas perlawanan itu.

Mengulas mengenai keputusan pramusim, termasuk kejayaan mengikat kelab gergasi Liga Perdana Inggeris, Chelsea 3-3, penyerang dari Brazil itu menganggap setiap langkah dan perlawanan yang diharungi memberi pengalaman baharu buat pasukan.

“Sebelum perlawanan, siapa yang menjangkakan kami mampu seri menentang Chelsea? Tiada siapa sangka, malah kami hampir memenanginya. Namun, fokus kami kini adalah perlawanan seterusnya menentang Kuching City untuk kembali mempertahankan kejuaraan.

“Tiada kata-kata dapat menggambarkan detik yang kami lalui, idea kami adalah untuk terus melangkah dan teruja menghadapi musim baharu tanpa jangkaan berlebihan, sebaliknya kekal bekerja keras,” katanya.

Menyentuh mengenai persaingan sengit di bahagian serangan berikutan kemasukan penyerang baharu dalam skuad Harimau Selatan, Bergson menganggapnya sebagai satu perkembangan positif buat kelab yang disertai sejak enam tahun lalu.

“Ini bukan perkara baharu bagi saya, setiap musim JDT sentiasa bertambah baik dengan membawa masuk penggempur baharu, ini adalah proses bagi kelab untuk terus melangkah ke hadapan.

“Bagi saya, ini adalah persaingan sihat dan saya akan sentiasa berada pada prestasi terbaik untuk membantu rakan sepasukan,” ujarnya.

Dalam pada itu, Bergson turut meluahkan rasa lega apabila dapat menyertai keseluruhan kempen pramusim di Sepanyol tanpa sebarang gangguan kecederaan, berbeza dengan situasi yang dialaminya pada beberapa musim sebelum ini.

“Musim ini saya dapat menyempurnakan seluruh sesi latihan, membina keserasian (chemistry) dengan pemain-pemain baharu dan bersedia sepenuhnya untuk aksi rasmi bagi memastikan JDT kekal di puncak,” katanya.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast