KLANG – Kerajaan memperuntukkan RM34.19 juta tahun ini bagi pemasangan lampu jalan LED berkuasa solar di 362 lokasi terpilih di Jalan Persekutuan seluruh negara.
Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, penggunaan lampu solar itu dilaksanakan secara bersasar bagi meningkatkan pencahayaan dan keselamatan pengguna jalan raya, khususnya pada waktu malam.
Pada masa sama, menerusi Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) dan Program Pantau Madani 2026, kerajaan turut memasang 3,000 tiang lampu solar LED di 32 lokasi berisiko tinggi dan kerap berlaku kemalangan di rangkaian lebuh raya.
“Apabila melibatkan pelaburan kerajaan sebesar ini, kualiti tidak boleh dikompromi. Kita bukan sekadar mahu lebih banyak lampu dipasang, tetapi memastikan produk yang digunakan memenuhi spesifikasi teknikal, tahan lasak dan mampu beroperasi dengan baik untuk jangka panjang,” katanya.
Nanta berkata demikian ketika mengadakan lawatan kerja ke kilang SBC Lighting Sdn. Bhd. di Klang bagi melihat proses pengeluaran serta aspek kualiti dan pematuhan standard lampu jalan jenis Integrated Solar LED (ISLED).

Menurutnya, projek pemasangan lampu solar di lebuh raya itu melibatkan peruntukan fasa awal RM25.2 juta dan disasarkan siap menjelang penghujung November ini.
Beliau berkata, Jabatan Kerja Raya (JKR) turut menetapkan Garis Panduan Penggunaan Lampu Jalan Jenis ISLED bagi projek kerajaan, termasuk keperluan jaminan selama lima tahun.
Sehingga Mei 2026, sebanyak 19,493 unit ISLED telah dipasang di Semenanjung Malaysia, manakala produk bagi projek kerajaan perlu melalui pendaftaran Electrical Material Approved List (EMAL) JKR sebagai sebahagian kawalan standard dan kualiti.
Nanta berkata, penggunaan lampu solar turut mengambil kira spesifikasi seperti tahap pencahayaan, kekuatan struktur, kapasiti bateri, ketinggian tiang, ketahanan cuaca dan keselamatan pengguna.
Katanya, pemasangan akan terus dilaksanakan berdasarkan kesesuaian teknikal, keberkesanan kos dan keperluan setempat termasuk kawasan jauh daripada grid elektrik serta lokasi yang berdepan isu kecurian kabel dan vandalisme. – MalaysiaGazette
















