KUALA LUMPUR – Mahkamah Rayuan hari ini menolak rayuan Wong Shee Kai atau Ricky Wong, Teh Sew Wan dan Wong SK Holdings Sdn Bhd terhadap keputusan Mahkamah Tinggi yang memberikan perintah injunksi inter partes kepada Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC).
Pada 28 April 2022, Mahkamah Tinggi memberikan perintah injunksi inter partes bagi membekukan aset dan harta milik perayu bernilai sehingga RM169.2 juta sementara menunggu keputusan saman sivil yang difailkan SC.
Perintah itu turut melarang mana-mana pihak daripada dengan sengaja membantu atau membenarkan sebarang urus niaga membabitkan aset dan harta milik perayu.
Saman yang difailkan SC terhadap ketiga-tiga perayu pada 2020 itu berkaitan pelanggaran penipuan sekuriti di bawah Seksyen 179 Akta Pasaran Modal dan Perkhidmatan 2007 (CMSA), melibatkan Bright Packaging Industry Berhad.
Perbicaraan kes tersebut masih berlangsung di Mahkamah Tinggi di sini dan dijadualkan bersambung pada 1 September ini.
Panel tiga hakim Mahkamah Rayuan yang terdiri daripada Datuk Ravinthran a/l N. Paramaguru, Datuk Dr. Choo Kah Sing dan Datuk Leonard David Shim menolak rayuan perayu terhadap keputusan Mahkamah Tinggi memberikan perintah injuksi inter partes berkenaan.
Mahkamah Rayuan turut menolak permohonan perayu untuk mengetepikan Perintah Injunksi ex parte yang diberikan Mahkamah Tinggi pada 8 Mei 2020.
Selain itu, perayu diarahkan membayar kos berjumlah RM200,000 kepada SC.
SC dalam kenyataan hari ini berkata, Ricky Wong yang masih bebas turut dikehendaki bagi menghadapi pertuduhan jenayah di bawah Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLATFPUAA) serta CMSA.
Orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai keberadaan Ricky Wong diminta menghubungi SC menerusi talian yang disediakan atau melalui e-mel rasmi SC.
SC turut memaklumkan Ricky Wong,46, mempunyai alamat perniagaan atau pekerjaan terakhir yang diketahui di Pusat Bandar Puchong, Selangor dan alamat penginapan pula di Taman Gembira, Kuala Lumpur. – MalaysiaGazette
















