Ahli Parlimen Sekijang, Datuk Seri Zaliha Mustafa

KUALA LUMPUR – Tindakan ahli Parlimen pembangkang keluar beramai-ramai ketika Sidang Khas Dewan Rakyat di sini sebelum sesi membahaskan Laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) berkaitan Lembaga Tabung Haji hari ini menimbulkan persoalan mengenai keseriusan mereka terhadap isu berkenaan.

Ahli Parlimen Sekijang (PH-PKR), Datuk Seri Dr Zaliha Mustafa berkata, tindakan itu amat mengecewakan kerana pembangkang sebelum ini lantang membangkitkan soal kepentingan Islam dan umat Islam.

Menurut beliau, sidang khas itu sepatutnya dimanfaatkan sepenuhnya oleh Ahli Parlimen pembangkang untuk meneliti, mempersoalkan serta mencabar setiap dapatan yang terkandung dalam laporan RCI berkenaan.

“Selama ini mereka bercakap seolah-olah merekalah jaguh yang paling lantang mempertahankan Islam dan kepentingan umat Islam.

“Hari ini, apabila pintu Parlimen dibuka untuk mereka bertanya, mencabar, menyanggah dan membahaskan setiap dapatan RCI, mereka memilih untuk keluar.

“Jadi saya hendak tanya, sebenarnya siapa yang tidak mahu isu Tabung Haji ini dibahaskan,” tulis beliau menerusi Facebook hari ini.

Dr Zaliha berkata, sekiranya pembangkang tidak bersetuju dengan mana-mana dapatan RCI, mereka sepatutnya menggunakan ruang perbahasan di Dewan Rakyat untuk mengemukakan fakta dan hujah.

“Kalau ada dapatan RCI yang mereka tidak setuju, bangun dan lawan dengan fakta. Kalau ada keputusan kerajaan yang mereka mahu persoalkan, tanyakan dalam Dewan.

“Kalau ada pihak yang mereka percaya perlu dipertahankan, pertahankan dengan hujah,” tegas beliau.

Beliau turut mengkritik tindakan pembangkang yang menurutnya sering bercakap mengenai ketelusan, amanah serta kepentingan umat Islam di luar Dewan tetapi memilih untuk meninggalkan persidangan apabila diberikan ruang berdepan dengan dapatan RCI.

“Tetapi jangan di luar Dewan bercakap soal ketelusan, soal amanah, soal Islam dan kepentingan umat, kemudian apabila sampai masanya untuk berdepan dengan fakta di dalam Dewan, mereka memilih untuk keluar beramai-ramai,” katanya.

Dr Zaliha berkata, tindakan berkenaan lebih mengecewakan kerana perbahasan itu melibatkan laporan mengenai pengurusan serta amanah wang pendeposit Tabung Haji yang tidak sepatutnya dijadikan ruang untuk melakukan political stunt.

Menurut beliau, isu berkenaan bukan perkara kecil dan pembangkang sepatutnya kekal berada di dalam Dewan untuk meneliti laporan RCI serta membahaskan setiap perkara yang dipertikaikan.

“Kalau benar mereka serius mahu mempertahankan kepentingan umat Islam, inilah tempatnya. Duduk dalam Dewan, teliti laporan itu dan bahaskan setiap perkara yang mereka pertikaikan.

“Apabila mereka sendiri memilih untuk keluar, rakyat tentu berhak bertanya, apa sebenarnya yang pembangkang mahukan,” tegasnya lagi. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast