Datuk Seri Takiyuddin Hassan

KUALA LUMPUR – Ahli-ahli Parlimen pembangkang bertindak keluar Dewan Rakyat dan enggan meneruskan perbahasan berhubung laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) Tabung Haji di Dewan Rakyat  hari ini.

Keputusan itu dibuat selepas usul mereka untuk menangguhkan sidang khas berkenaan ditolak Speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul.

Ketua Whip Perikatan Nasional (PN), Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata, kehadiran Anwar penting bagi membolehkan penjelasan menyeluruh diberikan berhubung laporan tersebut lebih-lebih lagi sidang khas itu diadakan atas arahan Perdana Menteri.

Menurut beliau, pihak pembangkang sebelum ini sudah menghantar surat kepada Speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul supaya sidang khas itu ditangguhkan sehingga Anwar kembali bertugas selepas menjalani rawatan kesihatan.

Sementara itu, Johari ketika mengendalikan persidangan berkata, mana-mana ahli Parlimen yang tidak mahu meneruskan perbahasan boleh meninggalkan Dewan Rakyat.

Perkembangan itu menyaksikan sesi khas Dewan Rakyat berhubung laporan RCI Tabung Haji berlangsung dalam suasana tegang apabila pembangkang mengambil keputusan untuk tidak meneruskan perbahasan.

Dalam nada tegas, Johari berkata, mana-mana individu yang tidak mahu berbincang atau menganggap perkara yang dibahaskan tidak penting boleh memilih untuk keluar manakala mereka yang mahu meneruskan perbahasan dipersilakan untuk kekal.

“Kalau siapa yang nak keluar, keluar. Kalau siapa yang nak tunggu, tunggu. Sebab rakyat sedang melihat anda,” tegasnya.

Beliau berkata, tindakan meninggalkan Dewan Rakyat bukan sesuatu yang perlu diperdebatkan sekiranya seseorang itu tidak mahu mengambil bahagian dalam perbincangan.

“Siapa yang rasa dia tak mahu bincang dan lihat ini bukan penting, sila keluar. Yang tinggal nak bahas, sila tinggalkan,” katanya.

Dalam pada itu, beliau turut mengarahkan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dr Zulkifli Hassan meneruskan urusan persidangan dan meminta semua pihak supaya tidak menimbulkan kekecohan.

“Menteri, silakan. Jangan bising, kalau tidak…” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast