Anwar Ibrahim

KUALA LUMPUR – Perdana Menteri mempersoalkan sama ada pihak tertentu mahu membahaskan mengenai dirinya atau isu berkaitan Laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) Tabung Haji (TH) di Dewan Rakyat.

Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata demikian susulan tindakan beberapa wakil rakyat pembangkang memutuskan tidak menyertai sidang khas khas pagi ini.

“Orang Melayu Islam telah dikhianati, tapi masih ada yang mahu main drama politik? Apatah lagi datang dari pihak yang melaung-laungkan tentang Melayu Islam.

“Apakah PN (Perikatan Nasional) yang ditunjangi Pas tidak pentingkan kepentingan orang susah, nelayan, petani, guru, polis, tentera, pesara yang mengerah keringat untuk menyimpan wang dalam Tabung Haji untuk menunaikan Rukun Islam kelima?,” katanya dalam hantaran di Facebook hari ini.

Terdahulu, keputusan wakil rakyat pembangkang itu dibuat selepas usul mereka untuk menangguhkan sidang khas berkenaan ditolak Speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul.

Pemakluman untuk tidak menyertai itu sidang khas itu dibuat Ketua Whip Perikatan Nasional, Datuk Seri Takiyuddin Hasan dan dipersetujui oleh Johari.

Susulan itu, ahli-ahli Parlimen PN dilihat bangkit dari tempat duduk masing-masing secara bersama untuk mula beredar keluar dari dewan.

Terdahulu, Takiyuddin bangun membangkitkan peraturan mesyuarat 13 meminta supaya sidang khas berkenaan RCI TH pagi ini ditangguhkan, dengan alasan ia tidak dihadiri Perdana Menteri yang juga Menteri Kewangan, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Namun Johari memutuskan ia tetap diteruskan seperti dijadualkan hari ini dengan sesi penerangan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Dr Zulkifli Hasan.

Sebelum itu Setiausaha Akhbar Kanan Perdana Menteri, Tunku Nashrul Abaidah memaklumkan, Perdana Menteri memohon maaf kerana tidak dapat bersama dalam sidang khas itu.

Perdana Menteri sedang menjalani rawatan oleh pasukan pakar perubatan dan dijangka berada di bawah pemantauan selama dua hari. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast