KUALA LUMPUR – Selepas dua kejayaan kerjasama Barisan Nasional (BN) dan Perikatan Nasional (PN) di Johor serta Negeri Sembilan, sudah tiba masanya kedua-dua gabungan itu mempertimbangkan ikatan rasmi menjelang Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU-16) jika kerjasama berkenaan benar-benar utuh dan ikhlas.
Penganalisis politik, Shahbudin Embun berkata, penggabungan secara rasmi mampu menjelaskan hala tuju kerjasama untuk jangka panjang selain meyakinkan segmen pengundi yang disasarkan kedua-dua gabungan.
Katanya, langkah itu juga dapat mengelakkan kekeliruan dalam kalangan penyokong berhubung masa depan kerjasama BN-PN.
“Kerjasama politik antara BN dan PN perlu dilihat dalam konteks yang lebih besar dan matang bukan sekadar dari sudut siapa akan menjadi Perdana Menteri atau parti mana yang mendapat lebih banyak kerusi.
“Apa yang berlaku dalam politik Malaysia hari ini menunjukkan bahawa pintu kerjasama politik semakin terbuka dan tidak lagi boleh dilihat secara terlalu rigid berdasarkan sempadan parti.
“Pendekatan BN khususnya UMNO yang menekankan konsep persefahaman semestinya membentuk gabungan rasmi sebenarnya memberi ruang kepada mana-mana parti untuk bekerjasama sekiranya matlamatnya adalah kepentingan rakyat, kestabilan politik dan masa depan negara,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Terdahulu, Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO, Datuk Razlan Rafii menjelaskan, pendekatan BN dalam menterjemahkan hubungan politik bersama parti lain menjelang PRN dan PRU16 kini lebih bertumpu kepada konsep ‘persefahaman’ berbanding ikatan gabungan rasmi.
Menurut Razlan, model yang diguna pakai di Negeri Sembilan dan Johor terbukti memberikan hasil positif tanpa menimbulkan rasa tidak puas hati antara parti yang bertanding.
Sebelum ini, Ketua Pembangkang, Datuk Seri Hamzah Zainudin mencadangkan penjenamaan baharu bagi kerjasama politik PN dengan BN menerusi nama Perikatan Barisan Nasional (PBN) bagi mengelakkan kekeliruan dalam kalangan penyokong kedua-dua gabungan.
Mengulas lanjut, Shahbudin yang juga Pengerusi Kepimpinan dan Pentadbiran Negara, Majlis Perundingan Melayu (MPM) berkata, jika BN dan PN benar-benar mahu membentuk kerjasama lebih kukuh menjelang PRU-16, ia mesti berasaskan keikhlasan, kejelasan prinsip dan kepentingan rakyat.
Katanya, kerjasama itu tidak seharusnya dibina dengan memainkan sentimen kaum atau menggunakan isu Melayu semata-mata untuk mendapatkan sokongan politik.
“Janganlah perasaan orang Melayu dipermainkan semata-mata untuk kepentingan pilihan raya. Jika benar-benar ikhlas mahu bekerjasama, kedua-dua pihak perlu menjelaskan kepada rakyat apakah bentuk kerjasama yang ingin dibawa, apakah agenda negara yang mahu dilaksanakan dan bagaimana mereka akan memastikan kestabilan politik terus terjamin.
“Soal siapa yang bakal menjadi Perdana Menteri pula tidak wajar diputuskan hanya berdasarkan kehendak mana-mana parti,” katanya.
Pada masa sama, beliau berkata, PRN Johor dan Negeri Sembilan memberikan gambaran menarik mengenai masa depan politik Malaysia apabila parti-parti masih boleh mencari titik persamaan walaupun mempunyai persaingan dan perbezaan di peringkat negeri.
“Ini politik Malaysia yang sedang berubah. Jadi, jika BN dan PN benar-benar mahu bekerjasama, jangan biarkan ia menjadi sekadar drama politik atau permainan sentimen Melayu.
“Buktikan bahawa kerjasama itu ikhlas, mempunyai hala tuju yang jelas dan benar-benar bertujuan membawa kestabilan serta kemakmuran kepada rakyat.
“Pada akhirnya, keputusan bukan di tangan mana-mana pemimpin parti semata-mata. Kuasa sebenar tetap berada di tangan rakyat melalui peti undi,” katanya.
Persefahaman antara BN-PN berjaya ditonjolkan apabila gabungan itu membentuk kerajaan di Negeri Sembilan selepas mencapai kesepakatan dalam pembahagian kerusi pada PRN tersebut.
Kerjasama berkenaan dilihat membuktikan kedua-dua gabungan mampu mengetepikan perbezaan politik demi membentuk kerajaan yang stabil serta mengelakkan pertembungan sesama sendiri. – MalaysiaGazette
















