Sebuah kawasan di Pontian yang didakwa dijadikan tempat pembuangan sisa buangan binaan dari Singapura.

JOHOR BAHRU – Johor menubuhkan satu pasukan khas untuk menyiasat dakwaan kegiatan pembuangan sisa buangan binaan dari Singapura ke beberapa lokasi di Pontian.

Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan negeri, Datuk Mohd Jafni Md Shukor berkata, pasukan itu ditubuh secara bersepadu libat pelbagai pihak bagi membolehkan siasatan menyeluruh berhubung dakwaan tersebut.

“Pasukan ini akan melibatkan agensi antaranya pihak berkuasa tempatan (PBT), polis, pejabat daerah dan Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp).

“Langkah ini penting bagi memastikan segala dakwaan berkaitan aktiviti berkenaan dapat dikenal pasti dan disiasat secara menyeluruh, termasuk sekiranya kegiatan tersebut masih berlaku.

“Difahamkan operasi menambak sisa buangan bangunan dari Singapura sudah dihentikan, namun perkara ini tidak boleh berhenti di situ sahaja,” katanya selepas melakukan tinjauan di sebuah premis kitar semula barang lusuh di Kampung Maju Jaya, Jalan Kempas Lama-Seelong, Kempas di sini hari ini.

Menurut beliau, pihaknya menerima laporan berhubung kegiatan tersebut termasuk di Sungai Karang, Pontian dan beberapa kawasan lain namun masih dalam siasatan.

Mohd Jafni melawat premis kitar semula barang lusuh di Kampung Maju Jaya, Kempas, Johor Bahru hari ini

Mohd Jafni berkata, sekiranya siasatan mendapati kegiatan berkenaan masih berlaku, pasukan penguat kuasa secara bersepadu akan digerakkan bagi mengenal pasti semua permasalahan yang timbul.

“Kita akan tubuhkan pasukan penguat kuasa secara bersepadu melibatkan PBT, polis, pejabat daerah, SWCorp dan agensi berkaitan supaya kita dapat mengenal pasti semua masalah yang timbul.

“Ini penting supaya tindakan yang sewajarnya dapat diambil berdasarkan undang-undang yang berkuat kuasa,” katanya.

Beliau pada masa sama memberi amaran kepada mana-mana pihak supaya tidak menjalankan kerja-kerja yang melanggar undang-undang berkaitan pengurusan dan pelupusan sisa.

Katanya, sisa yang dibawa dari Singapura untuk dibuang di Johor tanpa permit atau kelulusan sewajarnya tidak sepatutnya berlaku kerana boleh menimbulkan kebimbangan dalam kalangan rakyat.

“Kepada mereka yang melakukan kerja-kerja melanggar undang-undang, kita akan ambil tindakan. Sisa yang dibawa dari Singapura dan dibuang di Johor ini, kalau tidak mempunyai permit atau kelulusan sepatutnya, kita perlu ambil tindakan supaya perkara ini tidak menjadi kerisauan Bangsa Johor dan rakyat keseluruhannya,” katanya.

Beliau berkata, kerajaan negeri tidak akan berkompromi sekiranya terdapat pihak yang mengambil kesempatan menjadikan Johor sebagai lokasi pelupusan sisa secara tidak sah.

Katanya, tindakan penguatkuasaan secara bersepadu juga penting bagi memastikan isu berkenaan tidak berulang serta melindungi kepentingan penduduk dan alam sekitar negeri ini.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast