Naib Presiden Parti Amanah Negara, Datuk Mahfuz Omar.

KUALA LUMPUR – Ahli Parlimen Pas dan Wawasan yang meninggalkan Dewan Rakyat ketika penerangan mengenai laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) Tabung Haji (TH) dibentangkan adalah tidak matang dan perlu menjalani ‘rawatan mental politik’.

Naib Presiden Parti Amanah Negara (Amanah), Mahfuz Omar berkata, tindakan itu langsung tidak mencerminkan kesungguhan pembangkang untuk membela kepentingan pendeposit Tabung Haji.

Katanya, tindakan keluar dewan ketika fakta, penemuan dan penjelasan RCI sedang dibentangkan amat bercanggah dengan dakwaan mereka yang kononnya mahu menyelamatkan TH.

“Di luar dewan mereka menjerit bising kononnya aset TH dijual dan dilelong tetapi apabila fakta, penemuan dan penjelasan RCI dibentangkan di dalam dewan, mereka pula yang bangun meninggalkan tempat.

“Kalau benar mahu membela pendeposit, duduk, dengar dan bahas. Kalau tidak setuju  berhujahlah dengan waras. Kalau ada fakta yang mahu dicabar, kemukakanlah bukti.

“Tetapi keluar Dewan ketika penerangan sedang diberikan bukan tindakan seorang pejuang kebenaran. Orang yang benar-benar mahu jawapan, tidak meninggalkan Dewan ketika penerangan dan jawapan sedang diberikan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Tambah Mahfuz, alasan berhubung ketidakhadiran Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang sedang menjalani rawatan dan berada di bawah pemantauan doktor juga menghairankan.

Katanya, perdana menteri tidak hadir kerana dinasihatkan doktor untuk berehat, namun tindakan pembangkang meninggalkan Dewan pula menimbulkan persoalan sama ada ia berpunca daripada alasan tertentu atau tidak bersedia berdepan fakta.

“PM sedang menjalani rawatan. Saya cadangkan Ahli Parlimen Pas dan Wawasan perlu menjalani rawatan mental politik sebab bila fakta pahit dibentangkan, terus keluar Dewan.

“Perdana Menteri tidak hadir kerana doktor memintanya berehat. Pembangkang lari keluar Dewan atas nasihat doktor mana pula? Tidak hadir kerana apa? Sakit apa atau takut fakta?” jelasnya.

Dalam pada itu, Mahfuz menegaskan laporan RCI Tabung Haji perlu dibaca secara menyeluruh dan tidak dipilih berdasarkan fakta yang hanya menguntungkan naratif politik tertentu.

Katanya, jika laporan berkenaan mendedahkan kelemahan dan kegagalan terdahulu, perkara itu perlu diterima untuk diperbaiki, termasuk penjelasan mengenai rasional langkah pemulihan serta penstrukturan yang telah dilaksanakan.

“Jangan pilih fakta daripada RCI seperti memilih ‘lauk di pasar malam’ – ambil yang sedap kepada selera politik, tinggalkan yang pahit kepada naratif sendiri.

“Baca keseluruhan laporan, bukan pilih muka surat yang boleh dijadikan bahan ceramah,” katanya.

Mahfuz berkata, isu TH bukan pentas untuk mana-mana pihak berlakon menjadi hero, sebaliknya pendeposit memerlukan wakil rakyat yang sanggup duduk, mendengar, bertanya dan mempertahankan amanah mereka berdasarkan fakta.

“Di luar Dewan mereka menjerit ‘Selamatkan Tabung Haji’. Di dalam Dewan, apabila laporan tentang Tabung Haji dibentangkan, mereka pula yang perlu diselamatkan daripada fakta.

“Politik identiti takut kepada soalan. Politik integriti berani duduk mendengar jawapan dan memberi pandangan serta cadangan.Bila fakta tidak sesuai dengan skrip, jalan paling mudah bagi pelakon politik ialah lompat keluar dari pentas,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast