Pengaktifan tenaga elektrik Stesen Penyuap 08 telah disempurnakan oleh Ketua Pegawai Eksekutif MRL, Dato’ Sri Darwis Abdul Razak (pertama dari kiri) dan Pengarah Urusan CCCECRL, Deng Bo (kedua dari kiri) diiringi Ketua Pegawai Kanan Rangkaian TNB, Ir. Mahathir Nor Ismail (kedua dari kanan) dan Timbalan Pengarah Projek (Sistem) MRL, Jeflysham Osman (pertama dari kanan).

KUALA LUMPUR – Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) hari ini mencatat satu lagi pencapaian penting apabila berjaya mengaktifkan tenaga elektrik ‘Stesen Penyuap 08’ (Feeder Station 08) di Maran, Pahang, sekali gus melengkapkan pengaktifan kesemua 10 buah Stesen Penyuap 132kV bagi jajaran rel dari Kota Bharu, Kelantan ke Gombak, Selangor.

Pengaktifan Feeder Station 08 menandakan penyempurnaan penyediaan sistem bekalan kuasa utama yang menjadi tulang belakang kepada rangkaian rel elektrik ECRL.

Pencapaian ini memperkukuhkan lagi tahap kesiapsiagaan keseluruhan sistem ECRL serta melancarkan proses intergrasi secara menyeluruh sebagai persediaan menuju pengoperasian komersial jajaran Kota Bharu-Gombak yang dijadualkan bermula pada Januari 2027.

Majlis Pengaktifan Tenaga Elektrik 132kV Stesen Penyuap 08’ hari ini telah disempurnakan oleh Ketua Pegawai Eksekutif Malaysia Rail Link Sdn Bhd (MRL), Datuk Seri Darwis Abdul Razak, bersama Pengarah Urusan China Communications Construction (ECRL) Sdn Bhd (CCCECRL), Deng Bo.

Sebagai komponen asas kepada operasi sistem rel moden, bekalan elektrik yang stabil dan konsisten amat penting bagi memastikan pelbagai sistem kritikal seperti elektrifikasi, semboyan, telekomunikasi, pusat kawalan operasi serta perkhidmatan tren ECRL dapat berfungsi dengan cekap dan selamat.

Feeder Station 06 di Kuantan Port City, Gebeng adalah Stesen Penyuap pertama Projek ECRL yang berjaya diaktifkan pada Disember 2025, justeru dengan pengaktifan Feeder Station 08 pada hari ini, keseluruhan rangkaian bekalan kuasa utama jajaran ECRL Kota Bharu-Gombak adalah lengkap dan diisytiharkan hidup.

Menurut Darwis, pengaktifan tenaga elektrik keseluruhan jajaran Kota Bharu-Gombak merupakan satu lagi pencapaian penting dalam pelaksanaan Projek ECRL. Kejayaan ini juga mengukuhkan keyakinan bahawa ECRL akan dapat direalisasikan mengikut jadual perancangan demi manfaat negara dan rakyat.

“Pengaktifan tenaga elektrik Feeder Station 08 melengkapkan pengaktifan kesemua Stesen Penyuap 132kV bagi jajaran ECRL Kota Bharu-Gombak, seterusnya memperkukuhkan lagi kesiapsiagaan Projek ECRL bagi memasuki fasa ujian integrasi sistem pengoperasian ECRL.

“Pencapaian ini turut mencerminkan dedikasi semua pihak yang terlibat dalam memastikan setiap komponen infrastruktur kritikal dapat memenuhi standard keselamatan dan kualiti tertinggi,” katanya.

Darwis berkata, kejayaan hari ini adalah hasil kerjasama erat antara MRL, CCCECRL, dan TNB serta sokongan padu dan komitmen Kerajaan-Kerajaan Negeri yang terlibat, Pihak Berkuasa Tempatan (PBT), Pejabat Daerah, Pejabat Tanah & Galian serta pelbagai agensi Kerajaan dalam pelaksaan jajaran ECRL. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast