KUALA LUMPUR – Semua pihak disaran menyokong usaha Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim memperbaiki semula imej dan pentadbiran Lembaga Tabung Haji (TH), selain mengembalikan martabat institusi itu sebagai lambang kekuatan ekonomi Melayu-Islam.
Pensyarah Kanan di Pusat Pengajian Antarabangsa (SoIS), Kolej Undang-Undang, Kerajaan dan Pengajian Antarabangsa (COLGIS), Universiti Utara Malaysia (UUM), Misrinah Misban berkata, usaha itu penting bagi memastikan TH kembali diyakini sebagai institusi yang mempunyai kepentingan besar kepada umat Islam dan pendepositnya.

Pada masa sama, beliau menggesa pihak berkepentingan supaya berhenti mempolitikkan isu TH bagi meraih perhatian atau mengeluarkan kenyataan yang tidak membantu kerajaan menyelesaikan kemelut berhubung pengurusan institusi berkenaan.
“Tanpa mengira mana-mana parti politik, pihak berkuasa seperti Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) sedang menjalankan siasatan untuk mengenal pasti siapa pelaku salah guna kuasa dalam TH sekarang dan sebelum ini bagi mencari keadilan kepada jutaan pendeposit TH,” katanya hari ini.
Kenyataan itu dibuat ketika Dewan Rakyat hari ini mengadakan sidang khas bagi membahaskan Laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) berhubung pengurusan dan operasi TH bagi tempoh 2014 hingga 2020.
Sidang khas itu turut menyaksikan ahli Parlimen pembangkang keluar dari Dewan Rakyat selepas usul untuk menangguhkan persidangan berkenaan ditolak.
Sebelum ini, Ketua Pembangkang, Datuk Seri Hamzah Zainudin berkata, laporan RCI berhubung siasatan terhadap isu pengurusan dan operasi TH bagi tempoh berkenaan tidak mempunyai kaitan dengan UMNO secara keseluruhan, sebaliknya hanya melibatkan individu tertentu yang didakwa membuat keputusan salah.
Hamzah berkata, sebarang isu atau salah guna kuasa yang berbangkit daripada laporan berkenaan tidak sepatutnya digunakan untuk mempolitikkan atau menjejaskan imej parti tersebut.
Mengulas lanjut, Misrinah berkata, perkembangan itu sepatutnya menjadi ruang untuk memperkukuh tatakelola TH dan meningkatkan keyakinan umat Islam terhadap institusi berkenaan.
Katanya, segala penemuan RCI perlu dilihat secara objektif supaya kelemahan yang berlaku dapat diperbaiki dan tidak berulang pada masa hadapan. – MalaysiaGazette

















Anwar nak pulihkan? Anwar sendiri terlibat dgn skandal Forex BNM sebanyak 30 billion dan sehingga kini dapatkan RCI Forex BNM dibakul sampahkan..tidak ada sebarang tindakan pun..sama mcm RCI TH.. tidak ada penjelasan kenapa sebelum PH ambil alih defisit hanya 4.1 billion tetapi selepas tahun 2018 mencanak kepada 10 billion! kalau jd pensyarah tu tak payah lah nak menjilat walaupun UUM mmg terkenal sebagai kandang penjilat tegar..anda hanya memalukan komuniti akademia jaaa