Kerusi-kerusi ahli parlimen pembangkang kelihatan kosong pada Mesyuarat Khas Penggal Kelima Majlis Parlimen Kelima Belas Dewan Rakyat di Bangunan Parlimen, Kuala Lumpur. Foto SADIQ SANI, 11 OGOS 2026.

KUALA LUMPUR –  Tindakan sebahagian Ahli Parlimen pembangkang meninggalkan Dewan Rakyat ketika perbahasan laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) berkaitan Tabung Haji disifatkan sebagai satu ‘wayang politik yang dangkal’.

Setiausaha Agung Parti MUDA, Ainie Haziqah berkata, ketidakhadiran perdana menteri tidak seharusnya dijadikan alasan untuk wakil rakyat pembangkang meninggalkan Dewan ketika isu membabitkan kepentingan lebih 10 juta pendeposit Tabung Haji sedang dibahaskan.

Menurutnya, jika pembangkang benar-benar mahu memperjuangkan kepentingan rakyat, mereka sepatutnya menggunakan ruang di Parlimen untuk membangkitkan persoalan dan menuntut penjelasan berhubung dapatan RCI berkenaan.

Setiausaha Agung Parti MUDA, Ainie Haziqah

“Kalau benar kita mahu memperjuangkan kepentingan rakyat, masuklah ke Dewan dan bahaskan isu tersebut.

“Gunakan ruang Parlimen untuk bertanya, di mana silapnya? Siapa yang perlu bertanggungjawab? Bagaimana kerugian berlaku? Bagaimana dapatan RCI perlu diambil tindakan?

“Dan yang paling penting, bagaimana kita pastikan perkara yang sama tidak berulang?” katanya dalam kenyataan hari ini.

Ainie berkata, tindakan meninggalkan Dewan ketika isu sebesar Tabung Haji dibahaskan amat mengecewakan, khususnya apabila wakil rakyat berkenaan selama ini lantang membawa soal kepentingan umat dan amanah rakyat.

“Bukan dengan meninggalkan Dewan. Ini wayang yang sangat memalukan, terutamanya daripada mereka yang selama ini lantang bercakap tentang kepentingan umat dan amanah rakyat.

“Lebih mengecewakan apabila Ahli Parlimen masih menerima gaji dan elaun penuh, tetapi memilih untuk meninggalkan ruang yang diberikan kepada mereka untuk membawa suara rakyat,” tegasnya.

Menurut Ainie, rakyat tidak memerlukan aksi politik dalam isu Tabung Haji, sebaliknya mahukan jawapan, akauntabiliti dan tindakan terhadap sebarang kelemahan yang dikenal pasti.

Beliau berkata, Ahli Parlimen MUDA memilih untuk kekal berada di dalam Dewan dan mengambil bahagian dalam perbahasan kerana ia merupakan tanggungjawab yang perlu dilaksanakan seorang wakil rakyat.

Pada masa sama, Ainie turut menghargai tindakan beberapa Ahli Parlimen Bersatu yang memilih untuk tidak menyertai walkout dan sebaliknya kekal di Dewan bagi mengambil bahagian dalam perbahasan.

“Saya juga menghargai tindakan ahli-ahli Parlimen Bersatu yang memilih untuk terus berada di Dewan dan menggunakan ruang yang ada untuk berbahas serta menuntut jawapan.

“Itulah fungsi sebenar seorang Ahli Parlimen, hadir , bahas, persoal dan tuntut tanggungjawab serta tindakan,” katanya lagi.

Beliau menegaskan perbezaan politik mahupun kritikan terhadap kerajaan tidak seharusnya mengatasi tanggungjawab wakil rakyat untuk menggunakan institusi Parlimen bagi mendapatkan penjelasan.

“Ketidakhadiran perdana menteri tidak membatalkan tanggungjawab ahli Parlimen pembangkang untuk berada di Dewan dan menuntut jawapan.

“Jangan protes kerajaan yang tidak mahu menjawab dengan meninggalkan tempat di mana kerajaan sepatutnya dipaksa menjawab.

“Parlimen bukan pentas untuk menunjukkan siapa paling lantang. Parlimen ialah tempat untuk memperjuangkan kepentingan rakyat.

“Dan dalam isu Tabung Haji, rakyat berhak mendapat lebih daripada sekadar walkout,” katanya. -MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast