KLUANG – Polis menahan seorang lelaki dipercayai tokan dadah dan merampas satu kilogram dadah jenis heroin dalam satu serbuan di tepi Jalan Harmoni, Simpang Renggam di sini hari ini.
Serbuan tersebut dilakukan sepasukan anggota Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kluang pada pukul 12.25 tengah hari.
Ketua Polis Daerah Kluang, Asisten Komisioner Bahrin Mohd Noh memberitahu, suspek merupakan seorang lelaki tempatan berusia 42 tahun.
“Hasil pemeriksaan ke atas lelaki itu berjaya menemui tiga peket lutsinar yang mengandungi barang dipercayai dadah jenis heroin dengan anggaran berat kasar 1055 gram dan dianggarkan bernilai RM10,128.
“Semakan mendapati lelaki tersebut mempunyai 11 rekod lampau berkaitan jenayah dan dadah manakala ujian saringan air kencing mendapati positif dadah jenis morfin,” katanya melalui kenyataan hari ini.
Beliau berkata, siasatan awal mendapati suspek menjual dadah kepada penagih di sekitar daerah ini dan menjalankan kegiatan tersebut sejak awal tahun ini.
Menurutnya, suspek kini ditahan reman selama tujuh hari bermula hari ini sehingga 17 Ogos bagi membantu siasatan dan kes akan disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952.- MalaysiaGazette
















