KUALA LUMPUR – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berjaya melumpuhkan sindiket import ayam sejuk beku secara tidak sah dari China dipercayai merasuah pegawai pihak berkuasa di sebuah pelabuhan di Sabah, pagi tadi.
Menurut sumber, menerusi Op Chick yang dijalankan, sebanyak 10 kontena mengandungi ayam sejuk beku yang diimport secara tidak sah dari China disita.
Operasi itu dilaksanakan Bahagian Perisikan SPRM dengan kerjasama Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan (AKPS) serta Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM).

“Berdasarkan siasatan awal, kesemua kontena berisi ayam sejuk beku itu diisytiharkan secara tidak benar dan tidak melalui proses pemeriksaan yang ditetapkan.
“Susulan operasi itu, tiga lelaki berusia antara 30 hingga 50 tahun ditahan kerana dipercayai berperanan sebagai ejen penghantaran dan pengurus syarikat.
“SPRM juga sedang giat mengenal pasti individu lain yang terbabit,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Sementara itu, Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Seri Abd Halim Aman ketika dihubungi mengesahkan operasi serta tangkapan itu dan kes disiasat di bawah Seksyen 17 Akta SPRM 2009.
Katanya, ketiga-tiga suspek akan dibawa ke Mahkamah Majistret Kota Kinabalu, esok bagi proses permohonan reman bagi membantu siasatan. – MalaysiaGazette
















