KLUANG – Seorang pemandu maut dalam kemalangan empat buah lori di kilometer 73.3 Lebuh Raya Utara Selatan (PLUS) arah utara berhampiran Hentian Rehat dan Rawat (RnR) Machap di sini hari ini.
Ketua Polis Daerah Kluang, Asisten Komisioner Bahrin Mohd Noh berkata, kejadian yang berlaku kira-kira pukul 11.10 pagi itu melibatkan dua lori jenis Hino, Mitsubishi Fuso dan Foton.
“Siasatan awal mendapati semua kenderaan bergerak dari arah yang sama menuju ke Kuala Lumpur sebelum dua buah lori Hino dipandu lelaki berusia 44 dan 28 tahun memberhentikan kenderaan dipandu mereka akibat kesesakan jalan.
“Lori Mitsubishi Fuso dipandu lelaki berusia 27 tahun bersama-sama kelindannya berumur 44 tahun yang berada di bahagian belakang turut membuat langkah yang sama, di samping menyalakan lampu isyarat kecemasan sebagai tanda amaran untuk kenderaan di belakang,” katanya dalam kenyataan hari.
Beliau berkata, kemudian datang lori Foton dipandu Muhammad Sharull Nizam Mohd Haris, 31, yang berada tidak jauh di belakang lori Mitsubishi Faso tidak sempat mengelak lalu berlaku pelanggaran.
Katanya, akibat kejadian itu, Muhammad Sharul tersepit di tempat duduk pemandu namun disahkan meninggal dunia akibat kecederaan parah selepas berjaya dikeluarkan pihak bomba.
Ujar beliau, seorang mangsa yang cedera parah adalah kelindan lori Mitsubishi Faso, Ekmal Nizam Azam Azruldin, 44, dan dikejarkan ke Hospital Sultanah Nora Ismail (HSNI) di Batu Pahat manakala pemandunya hanya cedera ringan.
Ujarnya, mayat Muhammad Sharul yang beralamat di Meru Klang, Selangor dirujuk ke Hospital Enche Besar Hajjah Khalsom (HEBHK) di sini untuk proses bedah siasat.
Tambah beliau, kes akan disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.
Sementara itu, Komander Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat BBP Ayer Hitam, Pegawai Bomba Kanan I Ramli Said berkata, seramai 11 anggota dibantu dua jentera Fire Rescue Tender (FRT) dikejarkan ke tempat kejadian.
“Bomba mengeluarkan mangsa tersepit dengan menggunakan peralatan khas sehingga berjaya dibawa keluar. Mayat seterusnya diserahkan kepada pihak ambulan Kementerian Kesihatan (KKM),” katanya dalam kenyataan.
Beliau memberitahu, operasi selesai pukul 12.19 tengah malam tadi.- MalaysiaGazette
















