Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Fadil Marsus

KUALA LUMPUR – Seorang YouTuber warga Taiwan yang juga pencipta kandungan di platform berkenaan cedera selepas dipukul dan disamun sekumpulan individu yang dipercayai menyamar sebagai anggota polis di sebuah residensi di Cheras di sini.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Fadil Marsus berkata, mangsa turut mengalami kerugian kira-kira RM35,000 dalam kejadian di Eko Cheras Residence itu.

Menurut beliau, polis menerima laporan daripada seorang lelaki warga Jepun pada 1 Ogos lalu berhubung kejadian samun berkumpulan dan penyamaran sebagai penjawat awam.

“Pengadu memaklumkan mangsa merupakan seorang lelaki warga Taiwan yang bekerja sebagai pencipta kandungan YouTube dan juga majikannya.

“Mangsa telah dipukul dan disamun oleh suspek sehingga mengalami kecederaan serta kerugian kira-kira RM35,000,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Fadil berkata, siasatan awal mendapati suspek dipercayai mengetahui mangsa mempunyai simpanan tunai dalam mata wang asing bernilai tinggi.

Menurutnya, maklumat mengenai simpanan wang berkenaan dipercayai menjadi pencetus kepada suspek untuk melakukan jenayah tersebut.

Susulan laporan itu, Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Cheras bersama Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Kuala Lumpur melancarkan operasi khas bagi memburu mereka yang terlibat.

“Operasi itu membawa kepada penahanan 12 individu di beberapa lokasi sekitar Selangor, Negeri Sembilan dan Kuala Lumpur.

“Mereka terdiri daripada lapan lelaki dan empat wanita warga tempatan berusia antara 26 hingga 48 tahun,” jelasnya.

Daripada jumlah itu, tujuh suspek dibebaskan dengan jaminan polis pada 7 Ogos lalu selepas keterangan mereka diambil, manakala lima lagi masih direman sehingga 13 Ogos bagi membantu melengkapkan siasatan.

Fadil berkata, polis kini giat mengesan seorang lagi suspek yang masih bebas untuk membantu siasatan.

Kes disiasat mengikut Seksyen 170 Kanun Keseksaan kerana menyamar sebagai penjawat awam dan Seksyen 395 kanun sama kerana melakukan samun berkumpulan. -MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast