Pemimpin PH dan BN bersama-sama dalam mesyuarat Kerajaan Perpaduan.

KUALA LUMPUR – Tindakan UMNO yang berlebihan menyerang DAP ketika kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor dan Negeri Sembilan disifatkan boleh memerangkap parti itu sendiri.

Pensyarah Universiti Malaysia Terengganu (UMT), Prof Madya Dr Mohd Yusri Ibrahim berkata, ini kerana UMNO dan DAP masih bekerjasama dalam Kerajaan Persekutuan serta di negeri Pahang; Perak; Selangor dan Pulau Pinang.

Menurutnya, secara pentadbiran, kerjasama tersebut disifatkan sebagai konstruktif apabila penyampaian kerajaan berfungsi dengan baik.

Selain itu, ujarnya, serangan tersebut menyebabkan UMNO yang memimpin Barisan Nasional (BN) semakin tidak ada banyak pilihan.

Prof Madya Dr Mohd Yusri Ibrahim

“Menuju PRN Melaka dan PRU16, BN sudah dilihat oleh publik Melayu seolah-olah wajib bersama PN.

“Jika pilih bergerak solo, akan dilabel memberi laluan untuk PH/DAP menang dalam pertandingan tiga penjuru.

“Apatah lagi jika kembali bekerjasama dengan PH, tidak tahulah apa lagi yang akan dihambur,” katanya menerusi Facebook.

Tambah Mohd Yusri yang juga Felo Penyelidik Unit Literasi dan Advokasi Politik UMT, dalam situasi sebegitu, Perikatan Nasional (PN) dilihat akan mendapat keuntungan berganda.

Ujarnya, sama ada BN bergerak solo apatah lagi bekerjasama dengan PN, kedua-dua pilihan itu memberi kelebihan kepada PN.

“Sebab boleh heret naratif BN memberi peluang DAP menang, sama ada secara langsung atau tak langsung.

“Naratif seperti ini boleh menangkap imaginasi pengundi Melayu,” katanya. – MalaysiaGazette

 

 

 

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast