KUALA LUMPUR – Peguam yang mewakili Datuk Seri Najib Razak membantah sebahagian besar pernyataan saksi bekas ketua pegawai eksekutif 1Malaysia Development Berhad (1MDB) untuk dikemukakan sebagai keterangan dalam kes saman AS$5.6 bilion terhadap beliau.
Peguam Lee Shih yang mewakili 1MDB memberitahu Mahkamah Tinggi hari ini, bekas Perdana Menteri membantah kira-kira 80 peratus kandungan pernyataan saksi setebal 168 muka surat milik Datuk Shahrol Azral Ibrahim Halmi yang didakwa dibuat secara dengar cakap.
Sehubungan itu, beliau berkata, pihaknya memerlukan masa sehingga esok untuk meneliti bantahan tersebut.
Shahrol Azral sepatutnya dipanggil memberi keterangan sebagai saksi plaintif keempat pada perbicaraan kes saman 1MDB terhadap Najib dan enam yang lain.
Pesuruhjaya Kehakiman Mohamad Redzuan Idrus kemudian membenarkan perbicaraan bersambung esok.
Terdahulu, seorang pakar pemulihan aset luar pesisir memberitahu mahkamah, beliau tidak mengetahui butiran lanjut mengenai pemulihan aset yang dilakukan oleh 1MDB.
Angela Barkhouse berkata, terpulang kepada 1MDB untuk menilai jumlah pemulihan yang telah diterima dan mendedahkannya semasa mengemukakan tuntutan hutang.
Menurut Pengarah Urusan Kroll (Cayman) Ltd. itu, beliau tidak mengambil kira pemulihan aset tersebut semasa menyatakan jumlah kerugian yang berkaitan dengan entiti-entiti yang sedang dalam proses pembubaran.
Dalam saman itu, 1MDB mengemukakan lapan kausa tindakan terhadap Najib iaitu penipuan, kecuaian, pelanggaran kewajipan fidusiari, pecah amanah, konspirasi, tort salah laku dalam jawatan awam, pengayaan tidak adil, dan penerimaan amanah konstruktif.
Pada 26 Disember 2025, Mahkamah Tinggi mendapati Najib bersalah atas empat pertuduhan salah guna kuasa dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram dan dijatuhi hukuman penjara 15 tahun dan denda RM11.38 bilion.
Pada 7 Mei 2021, writ saman terbabit pada asalnya difailkan oleh 1MDB dan empat anak syarikat kepada 15 defendan termasuk Najib.
Empat anak syarikat itu ialah 1MDB Energy Holdings Limited, 1MDB Energy Limited, 1MDB Energy (Langat) Limited dan Global Diversified Investment Company Limited, atau lebih dikenali sebagai 1MDB Global Investments Limited.
Turut dinamakan sebagai defendan ialah bekas Pengarah 1MDB, Tan Sri Che Lodin Wok Kamaruddin, Tan Sri Ismee Ismail, Tan Sri Ong Gim Huat, Jasmine Loo Ai Swan dan Ashvin Jethanand Valiram.
Defendan lain, bekas Ketua Pegawai Eksekutif 1MDB, Datuk Shahrol Azral Ibrahim Halmi dan Mohd Hazem Abdul Rahman, bekas Ketua Pegawai Kewangan (CFO) Azmi Tahir dan Radhi Mohamad serta bekas pegawai 1MDB, Terence Geh Choh Heng, Casey Tang Keng Chee, Vincent Beng Huat Koh, Kelvin Tan Kay Jin dan Nik Faisal Ariff Kamil.
Bagaimanapun pada 16 Ogos 2021, 1MDB dan empat anak syarikatnya menggugurkan tujuh daripada 15 defendan. Mereka ialah Che Lodin, Ismee, Gim Huat, Ashvin Jethanand, Shahrol Azral, Mohd Hazem dan Azmi manakala Jasmine Loo juga tidak tersenarai sebagai defendan – MalaysiaGazette
















