Logo Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan Semenanjung Malaysia (NUTP) di Wisma NUTP, Kuala Lumpur. foto IQBAL BASRI, 28 JANUARI 2020

KUALA LUMPUR – Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP) menyifatkan paksaan kepada guru untuk menandatangani aku janji kepatuhan polisi perlindungan murid melalui surat pekeliling ikhtisas (SPI) adalah sesuatu yang amat tidak wajar.

Setiausaha Agungnya, Fouzi Singon berkata, ia menidakkan usaha guru selama ini dalam memberikan perkhidmatan terbaik kepada murid dalam aspek perlindungan kepada mereka.

Tambahnya, NUTP amat menyokong dan menyambut baik semua inisiatif dan usaha Kementerian Pendidikan (KPM) dalam memastikan murid-murid selamat, dilindungi dan sejahtera semasa berada di sekolah.

Namun, ujarnya, NUTP berpandangan bahawa polisi yang aku janjinya ditandatangani oleh guru itu akan merisikokan guru dan menjadi penguat kepada sesiapa yang menjadi plaintif dalam saman sivil kepada guru yang mungkin akan berlaku pada masa hadapan.

Sehubungan itu, tambah beiau, NUTP sedang dalam usaha mengadakan perundingan dengan pihak Kementerian Pendidikan (KPM) agar aku janji tersebut ditarik balik dan digantikan dengan elemen lain yang lebih bersifat profesional dan tidak “mengancam” guru.

“Untuk tempoh terdekat (sebelum adanya persetujuan bersama antara NUTP dan KPM berkaitan perkara ini), pihak NUTP meminta agar semua ahli tidak menandatangani aku janji tersebut dan meminta agar semua Pengetua dan Guru Besar tidak membuat paksaan kepada guru-guru untuk menandatangani aku janji tersebut,” katanya dalam satu kenyataan.

Terdahulu, menurut NUTP, KPM mengeluarkan SPI KP Bil. 4 Tahun 2026 bertarikh 1 Julai lalu yang bertujuan untuk melaksanakan Polisi Perlindungan Murid Sekolah di bawah kementerian itu. – MalaysiaGazette

 

 

 

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here