SEPANG – Cubaan seludup masuk rokok putih dengan mengisytiharkan sebagai ‘selipar’ bernilai RM948,640 termasuk duti dan cukai berjaya dipatahkan Jabatan Kastam Diraja Malaysia Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (JKDM KLIA) pada 30 Julai lalu.
Pengarah Kastam JDKM KLIA, Aspalila Ag Tuah berkata, barangan itu ditemukan oleh pasukan Bahagian Penguatkuasaan hasil pemeriksaan di sebuah gudang di Zon Perdagangan Bebas KLIA sekitar jam 9 malam.
Menurut beliau, pemeriksaan mendapati sebanyak 1.12 juta batang rokok putih disyaki tidak berkastam ditemukan dan rampasan dilakukan melalui satu bil muatan udara yang tiba dari sebuah negara Asia Barat ke Malaysia untuk tujuan transit.
“Kesemua rokok berkenaan akan dihantar ke salah sebuah negara di rantau Ocenia dan modus operandi sindiket iaitu dagangan diikrar sebagai selipar bagi mengelak untuk dikesan pihak berkuasa serta dikenakan permit import,” katanya dalam sidang media di sini hari ini.

Tambah beliau, hasil semakan nilai keseluruhan rampasan rokok berkenaan dianggarkan sebanyak RM168,000 manakala duti dan cukai pula adalah RM780,640.
“Susulan itu, kes disiasat mengikut Seksyen 35(D) 2 Akta Kastam 1967 dan kita sudah memanggil syarikat pengendali penghantaran barang dagangan untuk membantu siasatan,” jelasnya.
Sementara itu dalam kes berlainan, Aspalila turut memberitahu pihaknya merampas 410,000 batang rokok putih tidak bercukai dengan nilai rampasan RM392,752 termasuk duti dan cukai di lokasi yang sama.
“Kesemua rokok berkenaan telah dirampas jam 6.45 petang pada 29 Julai lalu dalam satu bil muatan udara dari sebuah negara di Asia Barat dan semakan mendapati, rokok itu diseludup bagi tujuan pasaran tempatan.
“Modus operandi digunakan dengan mengikrarkan dagangan sebagai ‘Garmen Bed Linen‘ bagi mengelak dikesan pihak berkuasa dan dikenakan permit import,” jelasnya.
Tambah beliau, ini menjadikan nilai keseluruhan rampasan rokok berkenaan dianggarkan sebanyak RM102,000 manakala duti dan cukai pula adalah RM290,152.
“Kes masih dalam siasatan lanjut dan kita telah memanggil syarikat pengendali penghantaran barangan bagi membantu siasatan. Kes disiasat di bawah Seksyen 135 (1) (a) Akta Kastam 1957,” ujarnya. – MalaysiaGazette
















