PUTRAJAYA – Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) terbuka untuk melakukan audit terhadap tempoh sah laku maksimum bagi Pasport Malaysia Antarabangsa (PMA) selama 10 tahun yang digantung sementara.
Ketua Pengarah Imiresen, Datuk Zakaria Shaaban berkata, pihaknya telah melakukan semakan serta merujuk pihak International Civil Aviation Organization (ICAO) sebelum pergantungan itu dilaksanakan.
“Kita tak ada masalah kalau mahu lakukan audit dan sebagainya. Kita telah melakukan due diligence sebelum perlaksanaannya dan pasport telah dirujuk kepada pihak ICAO.
“Maklum balas sudah diterima dan tiada halangan atau masalah cuma daripada segi praktikalnya untuk perjalanan yang dihadapi oleh rakyat Malaysia, itu sahaja.
“Bila kita bincang dengan pihak ICAO dan syarikat penerbangan, kita ambil keputusan untuk tidak membenarkan tambahan enam bulan pada pasport 10 tahun,” katanya dalam sidang media di Kompleks Setia Perkasa di sini hari ini.
Sebaliknya tambah Zakaria, penambahan tempoh enam bulan akan diberikan kepada pemegang PMA selama lima tahun.
“Kita ambil keputusan untuk tidak berikan ekstra enam bulan pada PMA 10 tahun dan kita hentikan sementara tapi kita berikan tempoh itu kepada pasport lima tahun,” jelasnya.
Terdahulu, Ahli Parlimen Kepong, Lim Lip Eng menggesa audit bebas dijalankan segera terhadap tempoh sah laku maksimum bagi PMA selama 10 tahun yang digantung selain menuntut pihak bertanggungjawab dikenakan tindakan.
Beliau dilaporkan berkata, audit berkenaan perlu mengenal pasti pihak yang mencadangkan, menguji dan meluluskan dasar itu selain mendedahkan jumlah kos penuh bagi menggantikan pasport yang terjejas. – MalaysiaGazette
















