MELAKA – Angkatan Muda Keadilan (AMK) mengakui kekalahan dalam beberapa pilihan raya negeri lalu menunjukkan sebahagian rakyat masih belum yakin politik yang dibawa parti itu.
Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK), Muhammad Kamil Abdul Munim berkata, keputusan itu perlu diterima dengan hati terbuka dan dijadikan peluang untuk menilai kelemahan sendiri bukan menyalahkan rakyat.
“Kekalahan dalam pilihan raya negeri yang lalu perlu kita terima dengan hati yang terbuka dan fikiran yang jernih.
“Ia adalah isyarat bahawa sebahagian daripada rakyat masih belum yakin bahawa politik yang kita bawa benar-benar memahami kebimbangan mereka dan mampu memberikan jawapan yang meyakinkan terhadap persoalan yang mereka hadapi,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan Ucapan Dasar Ketua AMK pada Persidangan Kongres KEADILAN 2026: Kongres AMK di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC), Ayer Keroh di sini malam ini.
Hadir sama, Naib Presiden PKR, Datuk Dr Zaliha Mustafa; bekas Ketua AMK, Adam Adli Abdul Halim, Datuk Seri Dr Samsul Iskandar Mohd Akin dan Ketua Pemuda Amanah, Mohd Hasbi Muda.
Muhammad Kamil berkata, AMK juga perlu mengakui politik berasaskan prestasi semata-mata belum tentu mencukupi untuk mengatasi politik identiti dan ketakutan.
Menurutnya, sebahagian lawan politik berjaya membina naratif bahawa Melayu dan Islam sedang terancam selain isu kuasa Melayu dan masa depan bangsa yang mudah menyentuh emosi pengundi.
“Jangan kita menghina orang Melayu yang bimbang tentang kedudukan mereka. Jangan kita memperlekehkan orang Islam yang mahu melihat agama mereka dihormati.
“Jangan kita menganggap setiap keresahan tentang bangsa dan agama sebagai tanda kemunduran pemikiran. Keresahan itu wujud, dan politik yang matang perlu mendengarnya,” katanya.
Katanya, politik Melayu dan Islam tidak seharusnya ditentukan hanya oleh pihak yang paling kuat memainkan sentimen sebaliknya perlu menawarkan keyakinan bahawa hak Melayu dan Bumiputera boleh dipertahankan melalui dasar yang adil dan berkesan.
“Keyakinan bahawa Melayu tidak akan hilang hanya kerana negara ini berlaku adil kepada semua, bahawa Islam tidak menjadi lemah hanya kerana masyarakat menghormati kepelbagaian,” katanya.
Muhammad Kamil berkata, mempertahankan hak Melayu dan Bumiputera juga tidak memerlukan peluang kaum lain ditutup kerana negara yang adil kepada semua sebenarnya mampu memperkukuh bukannya menghakis, kedudukan Melayu dan Bumiputera.
“Inilah perbezaan antara politik ketakutan dengan politik keyakinan. Politik ketakutan memerlukan musuh untuk terus hidup. Politik keyakinan membina kekuatan daripada ilmu, prestasi, keadilan dan keupayaan,” katanya. – MalaysiaGazette
















