GOMBAK – Projek Perkhidmatan Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) kini mencapai tahap kemajuan keseluruhan sebanyak 95.08 peratus sehingga Julai lalu, sekali gus mampu memulakan pengoperasian komersial jajaran dari Kota Bharu-Gombak bermula Januari tahun depan.
Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook berkata, perkembangan itu selari dengan jadual penyiapan jajaran Fasa 1 ECRL yang merentasi Kelantan, Terengganu, Pahang, dan Selangor pada Disember ini.
“Jajaran Fasa 2 ECRL dari Gombak ke Pelabuhan Klang pula dijangka siap menjelang Disember 2027 bagi membolehkan pengoperasian penuh pada Januari 2028.
“Hari ini ECRL melakar satu lagi pencapaian penting melalui perasmian Tren Pemeriksaan Komprehensif (CIT), iaitu sebuah tren canggih serta berteknologi tinggi yang akan digunakan bagi pemeriksaan dan penyelenggaraan rangkaian ECRL sepanjang 665 kilometer (km).
“Tren C.I.T. model ‘CR200J’, yang dikilangkan oleh CRRC Dalian, merupakan tren jenis enam gerabak Electric Multiple Unit (E.M.U.) berupaya merekod parameter geometri landasan, memeriksa sistem semboyan kereta api.
“Selain itu, meneliti sistem aliran elektrik Overhead Catenary System (O.C.S.) di sepanjang rangkaian ECRL dengan ciri-ciri moden dan sofistikated yang dimiliki tren C.I.T. ini, satu rangkaian rel ECRL yang selamat dan efisien dapat dicapai semasa fasa Pengoperasian dan Penyelenggaraan (O&M) nanti,” katanya.

Beliau berucap pada Majlis Peluncuran Comprehensive Inspection Train (CIT) dan Pengenalan Konsep Reka Bentuk Stesen-Stesen Utama ECRL serta Permulaan Ujian Integrasi Sistem (SIT) dan FFR di Stesen ECRL Gombak, di sini hari ini.
Majlis itu turut memperkenalkan pakaian seragam baharu kru tren dan kru perkhidmatan stesen ECRL sebagai gambaran awal petugas barisan hadapan yang akan memberikan perkhidmatan kepada penumpang.
SIT memberi tumpuan kepada integrasi dan penyelarasan sistem utama kereta api ECRL termasuk sistem semboyan, komunikasi, bekalan kuasa tarikan serta talian sesentuh atas.
Ujian itu bertujuan memastikan semua sistem berkenaan dapat berfungsi secara bersepadu seperti yang ditetapkan sebelum perkhidmatan penumpang dimulakan.
Sementara itu, FFR akan menilai prestasi operasi dan kebolehpercayaan sistem kereta api bersepadu menerusi ujian sejauh 8,000 kilometer.
Ujian berkenaan turut merangkumi penilaian interaksi antara tren dengan sistem utama seperti semboyan, komunikasi dan bekalan kuasa bagi memastikan keseluruhan sistem dapat beroperasi dengan selamat, cekap dan boleh dipercayai.
Bagi menyokong pelaksanaan SIT dan FFR, Pemeriksaan Tren Komprehensif (CIT) turut diperkenalkan untuk menjalankan pemeriksaan dan pengesahan terperinci terhadap infrastruktur serta sistem kereta api ECRL sepanjang program pengujian. – MalaysiaGazette
















