KOTA KINABALU – Universiti Malaysia Sabah (UMS) terus memperluas usaha pemindahan ilmu kepada komuniti luar bandar menerusi Program Rentas Borneo 2026 “Keramuak Disusur, Bakti Dihulur” yang akan berlangsung di Kampung Keramuak Luar, Tongod.
Naib Canselor UMS, Profesor Datuk Dr. Kasim Mansor berkata, program tahunan itu menjadi platform warga universiti dan rakan strategik untuk berkongsi kepakaran serta ilmu dalam pelbagai bidang dengan komuniti yang jauh dari arus pembangunan.
Katanya, seramai 65 peserta terlibat dalam program berkenaan yang turut melaksanakan tujuh projek pemindahan ilmu kepada komuniti Kampung Keramuak dan kampung berhampiran.
“UMS bukan hanya di bandar sahaja, tetapi kami bergerak ke kawasan-kawasan pedalaman untuk mencurahkan ilmu kepada komuniti-komuniti tempatan agar tidak ketinggalan dalam arus pemodenan.
“Antara projek pemindahan ilmu yang dilaksanakan ialah Pendidikan Kesihatan dan Perubatan oleh Hospital UMS (HUMS), Pendidikan dan Pengurusan Kecerdasan Emosi Murid oleh Fakulti Pendidikan dan Pengajian Sukan (FPPS) UMS, serta Teknologi Kompos dan Penanaman Anak Pokok oleh Fakulti Kejuruteraan (FKJ) UMS,” katanya ketika berucap merasmikan program tersebut di Dataran Dewan Canselor UMS.
Turut dilaksanakan adalah Program Pemindahan Ilmu Pengajian Islam melalui Bengkel al-Fatihah oleh Fakulti Pengajian Islam (FIS) UMS, serta Kesenian dan Budaya Malaysia MADANI oleh Galeri Azman Hashim-UMS dan Akademi Seni dan Teknologi Kreatif (ASTIF) UMS.
“Selain itu, Institut Biologi Tropika dan Pemuliharaan (IBTP) UMS menerajui Pemindahan Ilmu Kesedaran Alam Sekitar dan Biodiversiti, manakala Bahagian Keselamatan UMS (BKUMS) melaksanakan Program Keselamatan dan Masyarakat.
“Inisiatif ini selaras dengan aspirasi UMS sebagai The Brain of Borneo dalam menerajui aktiviti berasaskan kepakaran universiti bagi meningkatkan kesejahteraan komuniti desa,” katanya.
Tambah Kasim, program seperti itu haruslah dijalankan secara berkala agar komuniti-komuniti desa tidak ketinggalan dari segi pemindahan ilmu yang bermanfaat kepada mereka.
“Semoga dengan pemindahan ilmu ini dapat meningkatkan lagi taraf hidup komuniti desa dan menjadikan komuniti desa, komuniti yang pentingkan ilmu dan sentiasa mahu maju ke hadapan.
“Saya yakin program ini akan memberikan impak yang positif kepada komuniti Kampung Keramuak dan memberi manfaat dalam kehidupan seharian,” ujarnya.
Pada masa sama, Kasim turut menyeru peserta memanfaatkan peluang berinteraksi dengan penduduk tempatan bagi mengenali budaya dan kehidupan masyarakat setempat serta memupuk sikap saling menghormati. – MalaysiaGazette
















