KUALA LUMPUR – Bayaran Sumbangan Tunai Rahmah (STR) Fasa 3 mula disalurkan secara berperingkat hari ini kepada 5.3 juta penerima, meningkat 300,000 penerima berbanding lima juta pada awal tahun.
Kementerian Kewangan berkata, kerajaan memperuntukkan RM1.2 bilion bagi pembayaran STR Fasa 3, dengan penerima layak menerima antara RM150 hingga RM600, bergantung kepada pendapatan dan bilangan anak.
Daripada keseluruhan penerima, 3.9 juta merupakan isi rumah berpendapatan rendah dan sederhana rendah, manakala 1.4 juta lagi ialah warga emas tiada pasangan yang masing-masing menerima RM150.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, peningkatan jumlah penerima isi rumah menunjukkan komitmen kerajaan memastikan bantuan sampai kepada golongan yang memerlukan ketika kos sara hidup masih menjadi cabaran.
“Dalam keadaan kos sara hidup masih menjadi cabaran kepada sebahagian rakyat, kerajaan akan terus memastikan bantuan sampai kepada mereka yang memerlukan.
“Sebab itu jumlah isi rumah yang menerima STR meningkat daripada 3.7 juta pada awal tahun kepada 3.9 juta bagi Fasa 3,” katanya.
Menurut beliau, STR dan Sumbangan Asas Rahmah (SARA) bukan sekadar bertujuan meringankan beban rakyat, tetapi turut menjadi sebahagian daripada usaha kerajaan meningkatkan taraf hidup.
“STR dan SARA membantu meringankan keperluan rakyat hari ini, sementara kerajaan terus melaksanakan reformasi dan memperkukuh ekonomi bagi meningkatkan pendapatan serta taraf hidup rakyat.
“Matlamat kita bukan sekadar memberi bantuan, tetapi memastikan kehidupan rakyat bertambah baik,” katanya.
Jumlah keseluruhan STR yang disalurkan bagi tiga fasa tahun ini mencecah RM3.6 bilion.
Bergantung kepada kategori kelayakan, penerima boleh menerima bantuan sehingga RM3,300 secara terkumpul setakat Ogos melalui STR Fasa 1 hingga Fasa 3 serta SARA bulanan.
Jumlah itu tidak termasuk pemberian sekali bayar SARA Untuk Semua kepada semua warganegara Malaysia berusia 18 tahun ke atas.
Mulai 2026, STR disalurkan secara suku tahunan, manakala SARA menyediakan bantuan keperluan asas secara bulanan kepada penerima yang layak.
Kerajaan memperuntukkan keseluruhan RM15 bilion bagi STR dan SARA tahun ini, jumlah tertinggi dalam sejarah Kerajaan Persekutuan dan hampir tiga kali ganda pembayaran Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) pada 2016.
Bagi penerima yang mempunyai akaun bank, bayaran STR Fasa 3 dikreditkan terus ke akaun masing-masing mulai hari ini.
Penerima tanpa akaun bank boleh membuat tuntutan secara tunai di cawangan Bank Simpanan Nasional (BSN) di seluruh negara.
Permohonan baharu dan rayuan STR turut dibuka sepanjang tahun menerusi portal rasmi STR bagi mengurangkan risiko keciciran.
Kementerian Kewangan mengingatkan orang ramai supaya berwaspada terhadap pautan palsu dan cubaan penipuan. – MalaysiaGazette
















