KUALA LUMPUR – Bekas Menteri Pendidikan, Datuk Dr. Maszlee Malik menyifatkan pemansuhan Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU) 1971 bakal menghapuskan sekatan dalam statut serta pemikiran yang menganggap mahasiswa sebagai kanak kanak yang perlu sentiasa dikawal.
Beliau berkata, keputusan kerajaan itu diharap bakal membuka `buku’ baharu ke arah mewujudkan universiti yang tidak takut kepada pembentukan idea dan mempercayai mahasiswanya.
“Pemansuhan AUKU membuka `buku’ tentang universiti yang memuliakan sarjana serta perihal kepercayaan yang diberikan kepada mahasiswa.
“Buku itu menegaskan bahawa universiti bukan sahaja kilang untuk mengejar kedudukan dunia tetapi menyelesaikan penderitaan manusia di sekelilingnya.
“Ukuran sebenar sebuah universiti bukan berapa tinggi menaranya, berapa banyak jurnal atau di tangga berapa rankingnya.
“Ukuran sebenar sebuah universiti ialah berapa banyak akal yang dimerdekakannya, berapa banyak kebenaran yang berani dipertahankannya dan berapa banyak masalah manusia yang berjaya diselesaikannya,” ujar beliau dalam hantaran menerusi laman sosial Facebook hari ini.
Maszlee selanjutnya berkata, pemansuhan AUKU akan membuka ruang sama ada negara benar-benar mempercayai cara mahasiswa berfikir dan mempercayai profesor yang berbeza pandangan.
“Apakah kita mempercayai sarjana untuk mengatakan sesuatu yang mungkin tidak disenangi oleh pemerintah, korporat, birokrasi mahupun masyarakat?
“Dan yang paling penting, apakah kita benar benar mahu universiti melahirkan manusia yang merdeka atau sekadar graduan yang patuh,” tegas beliau.
Menurut Maszlee, dalam bukunya Reformasi Universiti: Agenda Ternafi, beliau menyatakan kebebasan akademik merupakan prasyarat kepada kecemerlangan dan kualiti kesarjanaan dan pendidikan tinggi.
Katanya, campur tangan politik dan sekatan terhadap pemikiran bukan sahaja melemahkan ahli akademik tetapi akhirnya memiskinkan keseluruhan ekosistem ilmu negara.
Selaku ahli akademik, Maszlee pernah berada dalam situasi apabila seorang sarjana perlu berfikir berkali-kali sebelum bersuara apabila forum boleh dibatalkan dan apabila pandangan yang dianggap tidak selesa boleh menyebabkan seseorang akademik berdepan tekanan.
“Saya juga ingin merakamkan penghargaan kepada generasi mahasiswa, aktivis pendidikan, ahli akademik, masyarakat sivil dan pembuat dasar yang selama puluhan tahun tidak pernah berhenti memperjuangkan kebebasan universiti,” katanya.
Beliau turut menegaskan, reformasi AUKU perlu dilihat bersama Akta Institusi Pendidikan Tinggi Swasta 1996.
Menurut beliau, kebebasan akademik tidak boleh menjadi hak eksklusif sesetengah universiti sebaliknya ia mesti menjadi nilai nasional yang meliputi keseluruhan ekosistem pendidikan tinggi Malaysia.
Beliau turut berpendirian, pemansuhan AUKU belum mencukupi melainkan universiti dikembalikan kepada masyarakat atas prinsip bahawa pendidikan harus menjadi penyelesai masalah masyarakat.
Jelas beliau, hala tuju pendidikan mesti akhirnya kembali kepada kemampuan institusi ilmu menyelesaikan masalah sebenar rakyat,
Ujarnya ini termasuk kemiskinan bandar, banjir, kesihatan awam, pendidikan anak miskin, keselamatan makanan, perubahan iklim, kesenjangan digital, perumahan, penuaan masyarakat, ketegangan antara kaum dan agama serta cabaran teknologi. – MalaysiaGazette
ARTIKEL BERKAITAN:
Anwar umum akan mansuh AUKU 1971 beri kebebasan pada mahasiswa
















