Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyampaikan ucapan dasar ketika hadir pada Kongres Nasional Keadilan 2026 di Melaka International Trade Center (MITC), Ayer Keroh. Foto MOHD ADZLAN, 15 OGOS 2026.

MELAKA – Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini mengumumkan kerajaan akan memansuhkan Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU) 1971 bagi memberi lebih kebebasan kepada mahasiswa.

Presiden PKR itu berkata, keputusan dibuat selepas mengambil kira pandangan mahasiswa yang mahukan ruang kebebasan lebih luas, termasuk melalui memorandum yang dikemukakan kepada kerajaan.

“Anak-anak mahasiswa merasakan mereka harus lebih bebas. Kita dah bebaskan dengan beberapa pindaan Akta Universiti dan Kolej Universiti.

“Ada yang tidak puas hati, mereka mengemukakan memo, maka pada hari ini saya nak umumkan, kita akan mansuhkan Akta Universiti dan Kolej Universiti!” katanya ketika menyampaikan Ucapan Dasar Presiden pada Kongres Nasional PKR 2026 di Melaka, hari ini.

Pengumuman itu disambut sorakan dan tepukan perwakilan.

Anwar berkata, pemansuhan AUKU adalah antara beberapa agenda reformasi pendidikan yang sedang dilaksanakan kerajaan.

Beliau berkata, kerajaan turut memberi perhatian kepada pendidikan awal kanak-kanak, pendidikan teknikal dan latihan vokasional (TVET) serta Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM).

“Kita tidak mahu pra-sekolah itu hanya bagi kalangan elit di bandar, dan kelas dua bagi anak-anak di pedalaman dan desa. Maka sudah menjadi tanggungjawab Kementerian Pendidikan,” katanya.

Anwar pada masa sama mengakui masih terdapat kelompangan dalam agenda reformasi kerajaan yang belum memenuhi sepenuhnya hasrat rakyat, terutama berkaitan kos sara hidup, harga barang, pendidikan dan kesihatan.

“Saya sebagai Presiden Keadilan (PKR) akui, apa pun hebat senarai dan urutan kejayaan kita, perubahan sistem tata kelola, ekonomi, tetapi masih ada kelompangan tidak memenuhi hasrat rakyat,” katanya.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast