KUALA LUMPUR – Tujuh individu terdiri daripada seorang ketua pegawai eksekutif (CEO), seorang pengarah syarikat, seorang bekas pengarah syarikat dan empat bekas pengurusan kanan Lembaga Tabung Haji (TH) ditahan bagi membantu siasatan susulan Laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) Tabung Haji (TH).
Individu pertama yang ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) merupakan seorang CEO sebuah syarikat perkapalan bergelar Datuk berusia dalam lingkungan 60-an.
Dia disyaki mengemukakan dokumen mengandungi butir matan palsu ketika membuat bayaran kepada TH melibatkan pemalsuan dokumen kontrak sebuah syarikat petroleum untuk kepentingan syarikat miliknya.
Manakala individu kedua dan ketiga, masing-masing bergelar Datuk dan Datuk Seri berusia dalam lingkungan 60-an pula ditahan kerana disyaki memperdayakan pegawai TH untuk membuat pelaburan ke sebuah syarikat pembinaan dengan menjanjikan potensi syarikat akan disenaraikan ke Bursa Malaysia.
“Empat bekas pengurusan kanan TH berusia dalam lingkungan 50-an dan 60-an termasuk seorang bergelar Datuk Seri dan seorang wanita ditahan kerana disyaki terlibat dengan amalan rasuah.
“Perbuatan itu mendorong TH memasuki perjanjian pajakan empat buah hotel dengan sebuah syarikat di Arab Saudi berjumlah SR2.49 bilion yang menyebabkan kerugian kepada TH.
“Bagaimanapun, hanya dua suspek lelaki iaitu CEO syarikat perkapalan dan pengarah syarikat pembinaan bergelar Datuk telah direman manakala lima lagi suspek dilepaskan dengan jaminan SPRM kerana masalah kesihatan,” katanya.
Perintah reman selama lima hari sehingga 19 Ogos 2026 terhadap kedua-dua suspek telah dikeluarkan Majistret Ahmad Afiq Hasan selepas permohonan dibuat SPRM di Mahkamah Majistret Putrajaya, pagi tadi.
Menurut sumber, kesemua suspek telah ditahan secara berperingkat kira-kira jam 3 petang hingga 10.30 malam di Ibu Pejabat SPRM Putrajaya, semalam.
Tahanan reman ini susulan siasatan pasukan khas yang ditubuhkan SPRM bagi menyemak dan meneliti hasil RCI Tabung Haji yang telah didedahkan kepada umum menerusi portal rasmi Jabatan Kemajuan Islam Malaysia pada 29 Julai 2026.
Sementara itu, Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Seri Abd Halim Aman ketika dihubungi mengesahkan penahanan tersebut dan berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 18 Akta SPRM 2009 serta Seksyen 16(a)(A) Aktaa SPRM 2009. – MalaysiaGazette
















