Kesemua suspek bersama barang kes dibawa ke pejabat BSJND IPD Tawau.

KUALA LUMPUR – Tiga individu ditahan selepas dipercayai terlibat aktiviti penyalahgunaan dadah dalam dua serbuan berasingan menerusi Op Tapis di sekitar Bandar Sabindo, Tawau kelmarin.

Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Rosdi Mat Jusoh, berkata operasi oleh Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik (BSJND) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tawau itu membabitkan kesalahan memiliki dadah mengikut Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952.

Menurut beliau, dalam serbuan pertama di sebuah bangunan terbengkalai di Sabindo, polis menahan seorang lelaki tempatan berusia kira-kira 47 tahun yang berada dalam keadaan mencurigakan.

“Hasil pemeriksaan, suspek menyerahkan satu paket plastik lutsinar berisi bahan hablur jernih disyaki dadah jenis syabu seberat kira-kira 0.10 gram.

“Dalam serbuan kedua pada hari sama di sebuah rumah di Bandar Sabindo, polis menahan seorang lelaki dan seorang wanita tempatan selepas kedua-duanya didapati berada dalam keadaan mencurigakan.

“Pemeriksaan lanjut menemukan satu paket plastik lutsinar berisi bahan hablur jernih disyaki syabu seberat kira-kira 0.34 gram yang diletakkan di atas meja di rumah berkenaan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurutnya, kesemua suspek bersama barang kes dibawa ke pejabat BSJND IPD Tawau untuk tindakan lanjut.

Rosdi berkata, pihaknya akan menjalankan tindakan susulan serta risikan berterusan bagi mengenal pasti rangkaian upline dan downline sindiket yang terbabit dalam aktiviti pengedaran dadah di daerah Tawau. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here