Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke Siew Fook berucap pada Persidangan DAP 2026 di PICC, Putrajaya. Foto SADIQ SANI, 16 OGOS 2026.

PUTRAJAYA – DAP menyatakan sokongan penuh terhadap pengumuman Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk memansuhkan Akta Universiti dan Kolej Universiti 1971 (AUKU).

Setiausaha Agungnya, Anthony Loke berkata, pemansuhan akta berkenaan merupakan antara perjuangan parti itu yang telah dibawa sejak puluhan tahun lalu.

Beliau berkata, DAP menyambut baik setiap usaha kerajaan untuk mereformasikan sistem supaya Malaysia menjadi sebuah negara yang lebih bebas, demokratik dan mempunyai sistem pemerintahan yang lebih telus.

“Apabila Perdana Menteri bawa cadangan mansuhkan AUKU, DAP sokong 100 peratus cadangan tersebut,” katanya ketika menyampaikan ucapan dasar pada Persidangan DAP 2026 di sini, hari ini.

Semalam, Perdana Menteri yang juga Presiden PKR mengumumkan akan memansuhkan AUKU ketika berucap pada Kongres Nasional Keadilan di Melaka.

Anthony Loke turut mendedahkan beliau sendiri pernah menjadi mahasiswa universiti tempatan dan menganggap dirinya sebagai antara mangsa AUKU ketika itu.

Katanya, kewujudan akta berkenaan pada masa lalu mewujudkan suasana ketakutan dalam kalangan mahasiswa di kampus.

“Saya juga pelajar universiti tempatan, saya juga mangsa AUKU pada ketika itu,” katanya.

Beliau menyifatkan keadaan tersebut sebagai “a climate of fear in the Malaysian campus”.

Anthony Loke berkata, keputusan Perdana Menteri untuk membawa cadangan pemansuhan AUKU ke Kabinet merupakan perkembangan yang disambut baik DAP.

“Bukan setakat AUKU, semangat yang sama perlu kita bawa untuk beberapa lagi reformasi yang telah kita janjikan kepada rakyat Malaysia,” katanya lagi. – MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here