PUTRAJAYA – DAP menyifatkan komposisi wakil rakyatnya di Johor menyaksikan separuh dari enam Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) yang dimenangi parti itu adalah wanita sebagai satu pencapaian membanggakan.
Setiausaha Agungnya, Anthony Loke berkata, keputusan Pilihan Raya Negeri Ke-16 (PRN-16) di Johor menyaksikan kemunculan tiga wakil rakyat baharu daripada parti berkenaan.
“Dari enam kerusi DUN yang kita menang, 50 peratus adalah ADUN wanita. Kita ada separuh ADUN wanita daripada perwakilan kita,” katanya dalam ucapan penggulungan pada Persidangan DAP di sini, hari ini.
Menurutnya, perkembangan tersebut merupakan antara pencapaian yang wajar diberi pengiktirafan ketika menilai prestasi DAP dalam pilihan raya negeri berkenaan.
“Walaupun jumlah kerusi yang dimenangi DAP di Johor berkurangan berbanding pilihan raya terdahulu, kemenangan enam kerusi tetap perlu dilihat sebagai pencapaian yang signifikan,” katanya.
Beliau berkata, DAP tidak seharusnya hanya menilai keputusan pilihan raya berdasarkan jumlah kerusi keseluruhan, sebaliknya turut melihat pencapaian individu, kemunculan wakil rakyat baharu dan penyertaan wanita.
“Kita ada tiga wakil rakyat baharu yang menang,” katanya.
Anthony Loke berkata, pencapaian itu membuktikan DAP masih mempunyai kekuatan untuk melahirkan barisan wakil rakyat baharu serta meningkatkan penyertaan wanita dalam politik.
“Prestasi tersebut akan terus menjadi sebahagian daripada penilaian parti dalam menentukan hala tuju perjuangan DAP pada masa akan datang,” katanya lagi. – MalaysiaGazette
















