PUTRAJAYA – DAP perlu memperkukuh identitinya sebagai parti untuk seluruh ‘bangsa Malaysia’, bukan parti yang hanya mewakili satu kaum, kata perwakilan Kelantan ketika menyokong pendirian supaya parti kekal dalam Kerajaan Perpaduan hingga tamat penggal.
Azaba Abdul Rani berkata, persepsi DAP dikawal atau hanya mewakili masyarakat Cina perlu ditolak dengan membuktikan parti membawa agenda untuk semua rakyat Malaysia.
“Kalau orang tengok DAP, kata DAP dikawal oleh orang-orang Cina. Kepada saya, bukan. Dikawal oleh bangsa Malaysia,” katanya ketika membahaskan usul sama ada DAP perlu kekal atau keluar daripada Kerajaan Perpaduan pada Persidangan DAP 2026 di sini hari ini.
Menurutnya, DAP perlu mula membawa dengan lebih tegas identiti ‘bangsa Malaysia” dalam perjuangannya dan tidak membataskan mesej parti kepada mana-mana kelompok kaum.
Katanya, Malaysia terdiri daripada masyarakat Melayu, Cina, India, Iban serta pelbagai kaum lain yang semuanya perlu dilihat sebagai sebahagian daripada satu bangsa dan negara.
“Bukan kepada Melayu saja, bukan kepada orang Cina saja, bukan kepada orang India saja, bukan kepada orang Iban saja, tetapi kepada kita semua, bangsa Malaysia,” ujarnya.
Beliau berkata, pendekatan tersebut penting bagi memastikan perjuangan DAP yang sudah dibawa selama kira-kira 60 tahun dapat diteruskan oleh generasi baharu.
Menurutnya, veteran parti yang memperjuangkan hala tuju DAP sejak dahulu telah menyerahkan perjuangan itu kepada generasi semasa, termasuk pemimpin parti yang kini memegang jawatan menteri dan timbalan menteri dalam kerajaan.
Dalam konteks usul kedudukan DAP dalam kerajaan, beliau berkata, Kelantan menyokong supaya parti terus kekal dalam Kerajaan Perpaduan dan membantu kerajaan sehingga tamat penggal.
Katanya, penyertaan dalam kerajaan memberikan parti ruang untuk melaksanakan agenda serta membantu rakyat, selain membina keyakinan dan sokongan menjelang pilihan raya akan datang.
Beliau berkata, bagaimanapun kedudukan DAP dalam kerajaan tidak menjamin kemenangan pada pilihan raya kerana setiap parti akhirnya perlu bergantung kepada kekuatan sendiri untuk mendapatkan mandat rakyat.
“Pilihan raya akan datang, siapa yang dapat menentukan? Masing-masing tak ada siapa yang akan menolong kita, melainkan diri kita sendiri,” katanya.
Sehubungan itu, beliau menegaskan DAP perlu memperkukuh akar umbi bukan sahaja dari segi kewangan tetapi melalui kemampuan parti membantu masyarakat dan mendekati rakyat di peringkat bawah.
Katanya, kekuatan jentera akar umbi amat penting jika DAP mahu memastikan perjuangannya terus mendapat tempat dalam kalangan rakyat.
Beliau turut mengingatkan bahawa sesebuah parti yang mahu menang pilihan raya perlu mempunyai keupayaan dari segi tenaga, kewangan dan ideologi yang jelas untuk dibuktikan kepada rakyat.
Menurutnya, DAP perlu menggunakan tempoh sehingga tamat penggal untuk memperkukuh kekuatan tersebut sambil terus membuktikan bahawa penyertaannya dalam kerajaan membawa manfaat kepada rakyat.
Beliau berkata, perjuangan parti tidak boleh hanya bergantung kepada kedudukan dalam kerajaan, sebaliknya perlu disokong kekuatan organisasi dan hubungan rapat dengan rakyat.
Justeru, beliau menyeru perwakilan menyokong pendirian untuk mengekalkan DAP dalam Kerajaan Perpaduan sehingga tamat penggal, sambil memperkukuh akar umbi dan membina identiti parti sebagai wadah untuk seluruh bangsa Malaysia. – MalaysiaGazette
















