KUALA LUMPUR – Himpunan Advokasi Rakyat Malaysia (HARAM) mengemukakan lima tuntutan kepada kerajaan susulan pengumuman pemansuhan Akta Universiti dan Kolej Universiti 1971 (AUKU).
Dalam satu kenyataan hari ini, HARAM berkata, ia menerima baik pengumuman ini sebagai satu langkah progresif yang berpotensi membebaskan institusi menara gading daripada cengkaman regresif yang telah berlarutan selama lima dekad.
Namun, kumpulan itu menegaskan, pengumuman yang dibuat oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim semalam tidak boleh bersifat retorik politik semata-mata atau dijadikan instrumen populis untuk memancing undi anak muda serta pengundi progresif.
“Kerajaan wajib membuktikan kehendak politik yang tulen
dengan menterjemahkan kenyataan ini kepada pelan tindakan eksekutif yang konkrit demi menghormati dan tidak mengecewakan siri perjuangan mahasiswa/i yang telah lama
menuntut pemansuhan AUKU,” jelasnya dalam kenyataan tersebut.
Lantaran itu, HARAM mengemukakan lima tuntutan kepada kerajaan demi memastikan agenda reformasi ini bersifat substantif, profesional dan berlandaskan undang-undang yang utuh.
Tuntutan pertama ialah kerajaan perlu menjelaskan status akta-akta berkaitan institusi pengajian tinggi selain AUKU, termasuk Akta Universiti Teknologi MARA 1976 (Akta 173), Akta Institusi Pendidikan Tinggi Swasta 1996 (Akta 555), Akta Politeknik serta Akta Badan-Badan Berkanun (Disiplin dan Tatatertib) 2000 (Akta 605).
Menurut HARAM, pemansuhan AUKU tidak akan mencapai matlamat liberalisasi akademik secara menyeluruh sekiranya akta lain masih mengekalkan sekatan terhadap kebebasan bersuara mahasiswa dan pensyarah.
Tuntutan kedua pula ialah penubuhan segera Jawatankuasa Penggubalan Akta Pendidikan Tinggi baharu secara inklusif dengan melibatkan wakil gerakan dan kesatuan mahasiswa, kesatuan akademik, ilmuwan serta organisasi masyarakat sivil sebagai penggubal bersama.
Ia turut menegaskan akta baharu tidak boleh sekadar menjadi replikasi atau penjenamaan semula AUKU dengan memasukkan kembali elemen yang dianggap regresif.
Perkara lain yang mahu diperbaharui termasuk penghapusan peruntukan yang memberikan bidang kuasa eksekutif kepada Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT), selain memastikan pelantikan kepimpinan universiti, termasuk Naib Canselor, dibuat berasaskan merit dan bebas daripada pengaruh politik.
HARAM turut menuntut kewajipan pembentangan laporan kewangan dan audit institusi pengajian tinggi awam kepada Parlimen secara berkala, selain audit oleh juruaudit bebas bagi memperkukuh ketelusan dan akauntabiliti.
Kumpulan itu juga mahu doktrin perlindungan suci hati seperti Seksyen 24C yang memberi imuniti kepada pegawai daripada tindakan undang-undang mesti dimansuhkan demi menegakkan prinsip akauntabiliti.
Dalam aspek perolehan, HARAM mencadangkan pelantikan Jawatankuasa Perolehan Tender dibuat berdasarkan kredibiliti, integriti dan merit teknikal, selain dilengkapi mekanisme pemantauan bebas.
Ia turut mahu kewajipan pengisytiharan harta, pendapatan dan kepentingan dikenakan terhadap Ahli Lembaga Pengarah Universiti serta ahli tetap Jawatankuasa Perolehan Tender.
Tuntutan keempat ialah kerajaan perlu membentangkan garis masa yang jelas dan terperinci berhubung proses pemansuhan AUKU serta penggubalan akta baharu.
HARAM berkata, kerajaan wajib membentangkan satu garis masa yang tuntas dan terperinci mengenai pelan pelaksanaan proses pemansuhan dan penggubalan akta baharu.
“Kami tidak akan bertoleransi dengan taktik penundaan birokrasi yang sengaja melenggahkan pembebasan mahasiswa,” tegasnya.
Tuntutan kelima pula membabitkan penubuhan Tribunal Rayuan Tatatertib Bebas bagi menggantikan mekanisme sedia ada yang memerlukan mahasiswa mengemukakan rayuan tatatertib kepada KPT.
Menurut HARAM, tribunal berkenaan perlu dianggotai pengamal undang-undang dan wakil berkecuali bagi memastikan kes rayuan mahasiswa, khususnya yang dikenakan tindakan disiplin akibat penglibatan politik atau aktivisme, dikendalikan secara adil dan bebas daripada campur tangan eksekutif.
Dalam pada itu, HARAM menggesa kerajaan segera membentangkan usul pemansuhan AUKU pada persidangan Parlimen akan datang.
“Sekiranya pengumuman pemansuhan AUKU ini sekadar janji manis yang tidak dikotakan atau digubal secara culas
untuk menipu harapan anak muda, HARAM tidak akan teragak-agak untuk melabel kerajaan hari ini sebagai pengkhianat mahasiswa.
“Kami bersedia sepenuhnya untuk menggerakkan
seluruh kekuatan mahasiswa, organisasi masyarakat sivil dan rakyat Malaysia turun ke jalanan dan medan-medan demokrasi bagi menuntut sebuah reformasi yang hakiki,” ujarnya. – MalaysiaGazette
















