Ahli Parlimen Klang, V, Ganabatirau

KUALA LUMPUR – DAP perlu kekal dalam Kerajaan Madani, namun sokongan parti itu tidak boleh dianggap sebagai ‘cek kosong’ kepada perdana menteri dan kerajaan, tegas Ahli Parlimen Klang, Ganabatirau Veraman.

Menurutnya, DAP tidak menyertai kerajaan semata-mata untuk memegang jawatan atau mendapatkan kuasa politik, sebaliknya kerana rakyat mengundi untuk perubahan, reformasi, keadilan, akauntabiliti dan tadbir urus yang lebih baik.

“Berada dalam kerajaan tidak bermakna kita menyerahkan prinsip.

”Sebaliknya, menjadi sebahagian daripada kerajaan memberi kita tanggungjawab yang lebih besar untuk bercakap benar kepada kuasa, menuntut akauntabiliti dan memastikan agenda reformasi tidak sekadar menjadi slogan,” ujarnya dalam kenyataan hari ini.

Jelasnya, ukuran terhadap sokongan DAP kepada kerajaan tidak seharusnya bergantung kepada siapa yang memegang jawatan atau sejauh mana hubungan politik dapat dikekalkan, sebaliknya kepada apa yang benar-benar berjaya dilaksanakan untuk rakyat.

“Ini bukan sekadar sama ada DAP perlu kekal atau keluar daripada kerajaan. Persoalan yang lebih penting ialah apakah reformasi bermakna yang telah disampaikan dan apakah lagi yang perlu dilaksanakan untuk kita terus memberikan sokongan,” tegas beliau.

Ganabatirau berkata, DAP perlu berani menyokong kerajaan apabila sesuatu dasar memberi manfaat kepada rakyat, namun pada masa sama tidak boleh berdiam diri sekiranya berlaku ketidakadilan, penyalahgunaan kuasa atau prinsip reformasi diketepikan.

“Kita perlu bekerjasama apabila kerjasama itu memberi manfaat kepada Malaysia, tetapi kita tidak boleh takut untuk bersuara apabila prinsip dikompromikan,” ujarnya.

Jelas beliau, antara reformasi yang perlu diberi keutamaan, termasuk pemisahan antara Peguam Negara dan Pendakwa Raya, pengukuhan institusi Ombudsman, pengawasan Parlimen yang lebih berkesan serta jaminan terhadap kebebasan institusi penguatkuasaan.

Dalam soal rasuah dan penyalahgunaan kuasa pula, beliau menegaskan, pendekatan kerajaan mesti benar-benar berasaskan prinsip tanpa pendakwaan terpilih, perlindungan politik atau layanan berbeza mengikut kedudukan seseorang.

“Undang-undang mesti terpakai kepada semua secara sama rata. Tiada siapa yang boleh dianggap kebal hanya kerana kedudukan atau hubungan politik,” katanya lagi.

Pada masa sama, kerajaan perlu memperkukuhkan ketelusan menerusi undang-undang kebebasan maklumat, proses perolehan kerajaan yang lebih terbuka serta memastikan agensi seperti Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia dapat menjalankan tugas tanpa campur tangan politik.

Ganabatirau turut menegaskan, isu peruntukan kawasan kepada wakil rakyat perlu diselesaikan berdasarkan keperluan rakyat dan bukannya kecenderungan politik.

“Peruntukan kawasan adalah hak demokratik untuk memenuhi keperluan rakyat, bukan alat politik untuk menghukum atau memberi ganjaran kepada wakil rakyat berdasarkan parti,” tegasnya.

Beliau turut berpandangan reformasi ekonomi perlu dinilai berdasarkan kesannya terhadap kehidupan rakyat biasa, pekerja, perusahaan kecil dan sederhana serta golongan rentan, bukan hanya melalui angka pertumbuhan ekonomi atau pencapaian di atas kertas.

Dalam masa sama, sifat Malaysia sebagai sebuah negara majmuk perlu terus dipelihara dengan memastikan setiap komuniti dihormati secara adil serta menolak politik perkauman dan agama yang digunakan untuk memecahbelahkan rakyat demi kepentingan politik.

Menurut Ganabatirau, semua perkara itu bukan tuntutan baharu atau melampau, sebaliknya merupakan sebahagian daripada harapan rakyat ketika mereka mengundi untuk perubahan kerajaan.

Beliau berpandangan, DAP wajar kekal dalam kerajaan tetapi dengan suara lebih bebas, pendirian lebih tegas serta penanda aras reformasi yang jelas.

“Kesetiaan kita pada akhirnya adalah kepada Malaysia dan rakyat, bukan kepada mana-mana individu, parti atau jawatan,” ujarnya.

Ganabatirau menegaskan, sokongan DAP kepada Kerajaan Madani hanya akan mempunyai makna sekiranya ia diterjemahkan kepada reformasi yang boleh dirasai dan dinilai oleh rakyat.

“DAP perlu kekal dalam kerajaan, kekal untuk reformasi, kekal berprinsip, kekal dengan syarat dan kekal bertanggungjawab kepada rakyat,” katanya lagi. -MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast