KUALA LUMPUR – New Generation Universiti Malaya (UM) tidak mahu pemansuhan Akta Universiti dan Kolej Universiti 1971 (AUKU) yang diumumkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sekadar janji politik atau langkah sementara menjelang pilihan raya.
Tegasnya, janji telah diberikan maka ia mesti ditunaikan.
Lantaran itu, ia menyeru Kerajaan Madani menterjemahkan komitmen ini kepada tindakan dalam tempoh pentadbiran ini, dengan garis masa jelas, proses yang telus serta konsultasi bermakna bersama mahasiswa, gerakan mahasiswa dan masyarakat sivil.
“Mahasiswa tidak memerlukan gula-gula politik. Mahasiswa memerlukan reformasi sebenar,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Gerakan mahasiswa ini menambah, pemansuhan AUKU bukanlah penamat perjuangan, justeru tidak mahu AUKU sekadar digantikan dengan undang-undang baharu yang mengekalkan sekatan dan struktur kuasa sama.
Sebaliknya menuntut pembinaan kerangka perundangan baharu yang lebih progresif, demokratik dan menjamin hak warga universiti.
“Kami menyeru agar pemansuhan AUKU disusuli dengan penggubalan Akta Pengajian Tinggi yang baharu, seperti yang pernah diperjuangkan melalui Jawatankuasa Mansuh AUKU.
“Akta baharu ini mesti membawa perubahan struktur sebenar, memperkukuh autonomi universiti serta memastikan mahasiswa mempunyai ruang dan kuasa yang bermakna dalam perkara yang melibatkan kehidupan dan masa depan mereka,” katanya sambil menuntut sebarang proses menggubal undang-undang tidak boleh dilakukan tanpa penglibatan mahasiswa.
Tambah mereka, wakil mahasiswa, kesatuan mahasiswa, majlis perwakilan pelajar, gerakan mahasiswa dan masyarakat sivil mesti diberikan ruang untuk terlibat secara langsung dan bermakna dalam keseluruhan proses reformasi daripada perbincangan dan penyediaan draf, sehingga konsultasi
awam dan penggubalan akta baharu.
“Suara mahasiswa bukan sekadar perlu didengar; tetapi mesti menjadi sebahagian daripada proses membuat keputusan,” ujar gerakan ini lagi. – MalaysiaGazette
















