PASIR GUDANG – Seorang pemuda maut selepas dipercayai terjatuh dalam tangki air di Kawasan Perindustrian Pasir Gudang di sini malam tadi.
Komander Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Pasir Gudang, Timbalan Penguasa Bomba II Firdaus Ahmad berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian tersebut pukul 9.51 malam.
Serentak itu katanya, seramai tujuh anggota dibantu sebuah jentera Fire Rescue Tender (FRT) dikejarkan ke tempat kejadian.
“Setibanya bomba di lokasi kejadian, terdapat seorang mangsa lelaki berusia 26 tahun berada dalam tangki sw metal hydroxide sludge berkapasiti 15,000 meter padu.
“Mangsa berada pada kedalaman kira-kira 1.5 meter dalam tangki yang mempunyai ketinggian 20 kaki dan didapati tidak mempunyai tanda-tanda kehidupan,” katanya dalam kenyataan malam tadi.
Beliau berkata, pihaknya menjalankan operasi mengeluarkan mangsa dengan menggunakan peralatan khas tali penyelamat dan stretcher sehingga berjaya dinaikkan ke permukaan.
Katanya, mangsa disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian oleh pegawai perubatan yang hadir di lokasi sebelum mayat diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya.
Tambahnya, operasi tersebut tamat pukul 11 malam.- MalaysiaGazette
















