Dr. Mas Fawzi Mohd Ali

KUALA LUMPUR – Cadangan pemansuhan Akta Universiti dan Kolej Universiti 1971 (AUKU) perlu dilihat secara menyeluruh kerana akta ini bukan hanya melibatkan mahasiswa, tetapi turut menjadi kerangka perundangan yang mengatur penubuhan, tadbir urus dan pentadbiran universiti awam, termasuk struktur serta kuasa pihak berkuasa universiti, pengurusan institusi dan hal ehwal mahasiswa.

Sehubungan itu, sebarang perubahan perlu dilaksanakan secara terancang agar usaha memperkukuh autonomi universiti dan mahasiswa tidak menjejaskan tadbir urus, akauntabiliti dan kestabilan institusi.

Naib Canselor Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM), Profesor Ts. Dr. Mas Fawzi Mohd Ali menegaskan, isu utama bukan sekadar sama ada AUKU perlu dimansuhkan, tetapi bentuk kerangka perundangan pendidikan tinggi yang lebih sesuai dengan keperluan semasa.

“Perubahan landskap pendidikan tinggi, teknologi digital, keterbukaan maklumat dan aspirasi mahasiswa menuntut sistem tadbir urus yang lebih dinamik, responsif serta berteraskan kepercayaan dan akauntabiliti,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau menambah, kebebasan mahasiswa penting dalam membentuk pemikiran kritis, kepimpinan dan kematangan intelektual.

Bahkan, katanya, mahasiswa juga perlu diberi ruang untuk bersuara, mengkritik berasaskan fakta serta terlibat dalam aktiviti sosial dan pembangunan negara.

“Namun kebebasan mesti seiring tanggungjawab. Mahasiswa perlu berani bersuara dengan ilmu, kritikal berasaskan fakta, tetapi pada masa sama memahami amanah dan akauntabiliti,” jelas beliau.

Menurutnya, autonomi mahasiswa juga merupakan sebahagian daripada proses pembelajaran bermakna kerana kampus menjadi ruang latihan kepimpinan, pengurusan konflik dan pembuatan keputusan secara beretika.

Dalam konteks ini, pemansuhan AUKU berpotensi memperluas kebebasan bersuara, mengukuhkan demokrasi kampus, menggalakkan aktivisme bertanggungjawab serta meningkatkan autonomi mahasiswa dan institusi.

Bagi universiti pula, kerangka perundangan yang lebih moden boleh memperkukuh autonomi, mengurangkan birokrasi serta mempercepat keputusan dalam akademik, penyelidikan, inovasi dan kerjasama industri.

Bagaimanapun, beliau menegaskan, autonomi perlu disertai sistem semak dan imbang yang kukuh.

“Autonomi yang lebih besar membawa tanggungjawab yang lebih besar dan mahasiswa perlu faham etika, integriti, undang-undang dan kesan setiap tindakan,” katanya.

Beliau turut menekankan risiko seperti penyalahgunaan kebebasan, penyebaran maklumat tidak sahih, politisasi kampus dan pengaruh luar yang boleh menjejaskan keharmonian akademik.

Sehubungan itu, universiti perlu mempunyai mekanisme tadbir urus yang jelas bagi memastikan autonomi selari dengan integriti, akauntabiliti, keselamatan dan kepentingan awam.

Jelas beliau, Rancangan Pendidikan Tinggi Malaysia (RPTM) 2026–2035 oleh Kementerian Pendidikan Tinggi sebagai langkah penting ke arah transformasi pendidikan tinggi negara, termasuk pengukuhan kepimpinan berautonomi dan ekosistem yang lebih kolaboratif.

“Jika AUKU dimansuhkan, ia perlu dilihat sebagai reformasi menyeluruh, bukan sekadar penghapusan akta dan yang penting ialah membina kerangka baharu yang lebih komprehensif dan harmoni,” katanya.

Seiring itu, agenda One Higher Education Act (OHEA) dalam RPTM 2026–2035 dilihat sebagai usaha menyusun semula perundangan pendidikan tinggi agar lebih relevan dengan masa depan.

Kerangka baharu itu perlu memperjelas autonomi universiti, tadbir urus, kuasa dan tanggungjawab, kebebasan akademik, hak mahasiswa serta mekanisme akauntabiliti.

“Reformasi ini bukan sekadar menggantikan undang-undang, tetapi membina ekosistem pendidikan tinggi yang lebih matang, dipercayai dan bertanggungjawab,” katanya.

Mas Fawzi turut menegaskan universiti perlu kekal sebagai ruang perbezaan pandangan yang sihat berasaskan ilmu tanpa menjejaskan perpaduan.

“Universiti bukan ruang menyekat pemikiran dan bukan ruang tanpa tanggungjawab. Kita perlu budaya kampus yang seimbang antara kebebasan, keberanian dan kebijaksanaan kerana matlamat akhir pendidikan tinggi ialah melahirkan mahasiswa berilmu, beramal, mempunyai akhlak terpuji dan bersifat “human-centric”.

“Kita mahukan mahasiswa yang mampu mengawal diri, membuat pertimbangan matang dan bertanggungjawab terhadap kebebasan yang dimiliki, juga mampu berhujah dengan ilmu, menawarkan penyelesaian dan memahami amanah di sebalik setiap hak, demi kedaulatan dan pembangunan negara,” ujar beliau. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast