Empat suspek didakwa di Mahkamah Majistret Batu Pahat hari ini atas pertuduhan membunuh seorang ahli perniagaan

BATU PAHAT – Empat lelaki dihadapkan di Mahkamah Majistret di sini atas pertuduhan membunuh ahli perniagaan yang mayatnya ditemui dalam keadaan diikat, dililit jaring ditemui dan dibuang dalam sungai, awal bulan ini.

Tertuduh, S Yogesvaran, 40, Lim Yong Ming, 26, N Achutan 32, dan How Han Wei, 33, mengangguk faham semasa pertuduhan dibacakan oleh jurubahasa di hadapan Majistret Mustaqim Sukarno dalam bahasa Melayu.

Bagaimanapun, tiada pengakuan direkodkan daripada tertuduh kerana kes di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan berada di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.

Tertuduh didakwa membunuh Low Kai Xian, 39, antara pukul 2.35 petang, pada 29 Julai lalu di hadapan kedai makan Sinhai Sdn Bhd, No 28, Jalan Emas Putih 2, Taman Sri Skudai, Johor Bahru hingga 12.30 tengah hari, pada 3 Ogos lalu di Sungai Tanjung Sembrong di sini.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang jika disabitkan kesalahan boleh dikenakan hukuman mati atau penjara antara 30 hingga 40 tahun serta sebatan minimum 12 kali, jika tidak dijatuhi hukuman mati.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Nur Shahzleen Ibrahim manakala Yogesvaran, Yong Ming dan Han Wei diwakili peguam SJ Sean Dudley manakala Achutan diwakili Datin Freda Sabapathy.

Turut mengikuti prosiding, peguam pemerhati keluarga mangsa, Chuah Shyue Chien dan Kenji Soh Xin Da.

Empat lelaki didakwa di Mahkamah Majistret Batu Pahat hari ini atas pertuduhan membunuh seorang ahli perniagaan

 

Mahkamah menetapkan 14 Oktober ini untuk sebutan semula kes bagi mendapatkan laporan bedah siasat, asid deoksiribonukleik (DNA), forensik kamera litar tertutup (CCTV) dan Forensik telefon bimbit.

Sebelum ini, polis menahan lima suspek susulan penemuan mayat lelaki berusia 39 tahun, terapung dalam keadaan dililit dengan jaring di Sungai Tanjung Sembrong, Parit Raja dekat sini, awal bulan ini.

Mayat terbabit ditemukan penduduk dalam keadaan mengerikan.

Berdasarkan siasatan awal polis, suspek dipercayai membunuh mangsa dengan menjerut leher menggunakan tali.

Suspek kemudian membawa mangsa menaiki sebuah kenderaan sebelum mengikat kedua-dua tangan menggunakan pita pelekat serta membalut jasadnya menggunakan jaring.

Siasatan juga mendapati, terdapat lima ketul batu ditemukan pada mayat yang dipercayai digunakan untuk menenggelamkan mangsa sebaik dibunuh.

Mangsa dilaporkan hilang oleh isterinya sejak 29 Julai lalu dan ahli keluarganya hanya menemukan kenderaannya di Johor Bahru.

Semakan rekod jenayah lampau ke atas semua suspek mendapati dua daripada mereka mempunyai rekod berkaitan jenayah dan dadah.

Kelim-lima suspek kemudian diiberkas minggu lalu dan motif pembunuhan dipercayai akibat hutang.- MalaysiaGazette

Mayat diikat kaki tangan, dililit jaring ditemui dalam sungai

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast