Mangsa, Muhammad Ade Hazwan Mohd Sidek bercakap pada sidang media berkaitan kes penipuan kilang kabinet di Bilik Mesyuarat MCCC, Alam Damai, Cheras. Foto AIZAT ZAINAL, 17 OGOS 2026.

KUALA LUMPUR – Seramai 18 mangsa mendakwa diperdaya syarikat kilang kabinet dalam urusan renovasi rumah dengan kerugian tertinggi bagi seorang mangsa mencecah hampir RM500,000.

Mangsa, Muhammad Ade Hazwan Mohd Sidek, 36, mendakwa, kesemua mangsa kini mendesak Polis Diraja Malaysia (PDRM) menjalankan siasatan terhadap kes berkenaan di bawah jenayah komersial dan bukan sekadar pertikaian sivil.

Beliau berkata, tuntutan itu turut dibuat susulan Perintah Mahkamah Majistret bertarikh 15 Mei 2026, yang menurutnya sehingga kini belum disusuli tindakan lanjut daripada pihak polis.

Menurutnya, rata-rata mangsa mendakwa kilang tersebut menggunakan kontrak perjanjian, pendaftaran Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) dan CIDB bagi meyakinkan pelanggan sebelum menerima bayaran, namun kerja renovasi didakwa tidak dilaksanakan seperti yang dijanjikan.

Mangsa, Muhammad Ade Hazwan Mohd Sidek bercakap pada sidang media berkaitan kes penipuan kilang kabinet di Bilik Mesyuarat MCCC, Alam Damai, Cheras. Foto AIZAT ZAINAL, 17 OGOS 2026.

Muhammad Ade Hazwan mendakwa, terdapat mangsa yang terpaksa mengambil alih urusan mencari pembekal dan berunding mengenai harga serta bahan binaan yang sepatutnya diuruskan pihak kontraktor.

“Kes ini bukan soal melanggar kontrak semata-mata kerana terdapat unsur memperdaya mangsa untuk membuat bayaran dan bayaran lanjut, sebelum kerja tidak dijalankan atau hanya dilakukan secara minimum,” dakwanya pada sidang media Pertubuhan Keprihatinan Jenayah Komuniti Malaysia di Alam Damai, Cheras, hari ini.

Beliau berkata, berdasarkan maklumat yang dikumpulkan mangsa, kerugian bagi kes terbabit adalah antara puluhan ribu hingga ratusan ribu ringgit, dengan jumlah tertinggi bagi seorang mangsa hampir RM500,000.

Katanya, mangsa turut mendakwa jumlah kutipan daripada pelanggan mencecah kira-kira RM1 juta pada 2024, hampir RM1 juta pada 2025 dan kira-kira RM500,000 bagi kes membabitkan mangsa pada 2026.

Muhammad Ade Hazwan mendakwa, masalah mula timbul selepas mangsa membuat bayaran sekitar 95 peratus daripada keseluruhan kos projek manakala tempoh siap projek bagi pelanggan terdahulu didakwa sekitar tiga bulan sebelum kontrak baharu menetapkan tempoh sehingga enam bulan.

Katanya, dua modus operandi yang didakwa dikenal pasti mangsa ialah ‘mirroring’ dan ‘blocking transparency’, termasuk memberikan gambaran kerja sedang dijalankan atau hampir siap, selain menyukarkan mangsa mendapatkan perkembangan projek serta bukti transaksi.

Sementara itu, peguam Vikram Samugham berkata, penelitian terhadap dokumen dan laporan mangsa mendapati terdapat dakwaan unsur jenayah komersial dan pihaknya akan mendesak polis menjalankan siasatan terhadap kesemua laporan yang dibuat.

Beliau berkata, sekiranya tiada tindakan sewajarnya diambil, pihaknya bersedia membawa perkara itu ke mahkamah bagi mendapatkan keadilan untuk kesemua mangsa, selain mengambil tindakan terhadap pihak yang bertanggungjawab jika perlu. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here