Afiza Abdullah

KUALA LUMPUR – Perbadanan Insurans Deposit Malaysia (PIDM) melantik Afiza Abdullah sebagai Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) bagi tempoh tiga tahun, berkuat kuasa pada 28 Ogos 2026.

Sejak menyertai PIDM pada tahun 2011, Afiza telah menerajui pelbagai inisiatif strategik di bawah Sistem Perlindungan Manfaat Takaful dan Insurans (TIPS).

Antara sumbangan penting beliau ialah penambahbaikan terhadap Sistem Levi Berbeza berdasarkan risiko yang menggalakkan amalan pengurusan risiko yang wajar dalam kalangan ahli penginsurans, dan peraturan maklumat TIPS.

Perkembangan kepimpinan beliau dalam PIDM daripada jawatan Pengurus Besar, Polisi dan Antarabangsa pada tahun 2016 kepada Naib Presiden Eksekutif Resolusi pada tahun 2022 merupakan sebahagian daripada perancangan penggantian kepimpinan PIDM yang direncanakan secara teliti dan diketuai lembaga pengarah.

Sebelum menyertai PIDM, Afiza berkhidmat hampir sedekad di Bank Negara Malaysia, dengan penglibatan dalam pembangunan dasar berhemat, pemodenan Akta Bank Negara Malaysia 2009 serta penggubalan Pelan Sektor Kewangan.

Di peringkat antarabangsa, beliau turut memainkan peranan aktif dalam memajukan amalan insurans deposit, skim jaminan insurans dan resolusi institusi kewangan menerusi International Association of Deposit Insurers (IADI) dan International Forum of Insurance Guarantee Schemes (IFIGS).

Afiza juga telah berkhidmat sebagai Naib Pengerusi Jawatankuasa Serantau Asia-Pasifik IADI sejak tahun 2024, dan sebelum itu turut memegang beberapa jawatan kepimpinan dalam IFIGS, termasuk sebagai Pengerusi pada tahun 2022.

“Dengan kemantapan kepimpinan dan kepakaran yang dimiliki Afiza, lembaga pengarah yakin bahawa pelantikan beliau akan memastikan peralihan kepimpinan yang lancar sertakesinambungan dalam usaha penting PIDM untuk terus memperkukuhkan tahap kesediaan
resolusi dan persediaan mendepani krisis.

“Kemajuan kerjaya beliau dalam organisasi ini juga mencerminkan kekuatan pembangunan bakat dan perancangan penggantian kepimpinan kami,” kata Datuk Abu Huraira Abu Yazid, Pengerusi PIDM. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here