Kumpulan Wang Simpanan Pekerja.

KUALA LUMPUR – Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) mencatatkan jumlah pendapatan pelaburan sebanyak RM57.50 bilion bagi tempoh enam bulan berakhir 30 Jun 2026 (1H 2026), meningkat 48% berbanding RM38.92 bilion dalam tempoh yang sama pada tahun 2025.

Jumlah ini merangkumi keuntungan dan kerugian belum direalisasikan berasaskan penilaian mark-to-market ke atas sekuriti, yang disebabkan oleh turun naik kadar pertukaran asing terutamanya.

Selaras dengan tahun-tahun sebelumnya, keuntungan dan kerugian belum direalisasi ini tidak boleh diagihkan sebagai dividen.

Menurutnya, jumlah pendapatan pelaburan bagi suku kedua berakhir 30 Jun 2026 (S2 2026) adalah sebanyak RM29.77 bilion, meningkat 44% berbanding RM20.61 bilion pada suku yang sama tahun lepas.

Ketua Pegawai Eksekutif KWSP, Ahmad Zulqarnain Onn berkata, KWSP memanfaatkan pasaran ekuiti global yang kukuh di samping mengekalkan pendekatan pelaburan jangka panjang yang berdisiplin.

Ahmad Zulqarnain Onn

“Sama seperti suku pertama, kami terus merealisasikan pendapatan lebih awal pada suku kedua memandangkan risiko pasaran dan geopolitik kekal tinggi.

“Walaupun pasaran ekuiti telah menyokong prestasi pada separuh pertama tahun ini, ahli wajar melihat prestasi ini dalam perspektif jangka panjang kerana peluang pasaran seperti ini mungkin tidak berulang pada separuh kedua tahun ini.

“Fokus kami kekal untuk menjana pulangan mampan yang disokong oleh portfolio berdaya tahan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

KWSP memberitahu, pendapatan ekuiti meningkat sebanyak 52% daripada RM13.77 bilion pada S2 2025 kepada RM20.94 bilion pada S2 2026.

Pemulihan kukuh dalam pasaran ekuiti global sepanjang suku tersebut memberikan peluang kepada pengurus dana untuk merealisasikan keuntungan, sekali gus menyumbang kepada pertumbuhan pendapatan.

Sentimen pelabur turut bertambah baik apabila kebimbangan terhadap harga tenaga semakin reda serta keyakinan yang kekal kukuh terhadap “kitaran super” kecerdasan buatan.

Ekuiti menyumbang 70% daripada jumlah pendapatan pelaburan bagi suku tersebut.

Instrumen Pendapatan Tetap menyumbang sebanyak RM6.91 bilion, merangkumi 23% daripada jumlah pendapatan pelaburan pada S2 2026.

Sekuriti Kerajaan Malaysia terus memberikan pulangan yang stabil dan berdaya tahan, berperanan sebagai komponen defensif utama dalam portfolio ketika berdepan ketidaktentuan pasaran.

Hartanah dan infrastruktur mencatatkan pendapatan sebanyak RM1.30 bilion pada S2 2026, manakala instrumen Pasaran Wang mencatatkan keuntungan sebanyak RM0.62 bilion, selaras dengan jangkaan pulangan bagi kelas aset masing-masing.

Jumlah aset pelaburan pula mencecah RM1.54 trilion, dengan 39% daripadanya dilaburkan di peringkat global.

Pelaburan antarabangsa menjana pendapatan sebanyak RM19.29 bilion, merangkumi 65% daripada jumlah pendapatan pelaburan bagi suku tersebut.

Jumlah pendapatan pelaburan bagi Simpanan Konvensional dan Simpanan Syariah masing-masing adalah RM24.16 bilion dan RM5.61 bilion.

Tambahnya, sepanjang 1H 2026, KWSP merekodkan hampir 441,850 ahli baharu, menjadikan jumlah keahlian menghampiri 18.5 juta.

Ahli aktif 2 meningkat kepada 10.9 juta, dengan nisbah ahli aktif kepada tidak aktif bertambah baik kepada 59:41 manakala bilangan majikan aktif pula meningkat kepada lebih 645,200 setakat Jun 2026, susulan 37,265 pendaftaran majikan baharu sepanjang suku tersebut.

KWSP menambah, jumlah caruman meningkat sebanyak 8.5% kepada RM33.87 bilion pada S2 2026 berbanding RM31.21 bilion bagi tempoh yang sama tahun lalu.

Bagi 1H 2026, caruman sukarela terus menunjukkan momentum positif, meningkat kepada RM14.15 bilion.

Pertumbuhan ini mencerminkan penyertaan ahli yang berterusan dalam simpanan sukarela, disokong oleh platform digital KWSP yang menyediakan akses yang mudah dan lancar untuk membuat caruman sukarela.

Jumlah caruman melalui i-Saraan meningkat 15.7% kepada RM1.33 bilion.

Sementara itu, bilangan ahli sektor formal Malaysia yang mencarum melebihi kadar berkanun melalui i-Topup meningkat 13.9% tahun ke tahun kepada hampir 204,450 orang bagi 1H 2026. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here